Jupiter ranum di laman Peter Wee

PETER kini tersenyum lebar apabila tanaman buah anggur jenis Jupiter di halaman rumahnya di Jalan Teku mula mengeluarkan hasil.

MENIKMATI buah anggur segar tanpa perlu membeli dari pusat-pusat membeli-belah adalah satu kepuasan bagi seorang wartawan akhbar Sin Chew Daily.

Peter Wee,50, kini mampu tersenyum selepas usahanya menanam tumbuhan itu kini menjadi dan mengeluarkan buah yang segar, manis dan sihat untuk keluarganya.

Beliau telah lama mempelajari teknik penanaman anggur dan menanam pelbagai jenis anggur di sekitar kawasan rumahnya di Jalan Tebu, Teku.

“Antaranya ialah anggur Isabella Madu (anggur hitam), IAC (anggur hijau), Seedless, Alphonso, Kyoho, anggur kuning, Belgia/Riparia/Shine Muscat /Red Master,” jelasnya kepada pemberita hari ini.

Peter  mula menanam 10 anak pokok anggur jenis Jupiter sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, selain 11 anak pokok anggur Jing Xiu.

“Anggur Jupiter adalah mahal, dalam pasaran kini setiap anak pokok anggur tersebut mencecah RM100 hingga RM150. Saya membeli anak pokok anggur ini dari Kuching, Sabah dan Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Katanya, tanaman anggur jenis Jupiter paling cepat mengeluarkan bunga dalam tempoh setengah tahun dan paling lambat satu tahun ataupun satu dua bulan.

“Ia bergantung kepada penjagaan kita, jika kita pandai menjaganya ia akan cepat membesar, sihat dan cepat mengeluarkan bunga. Tanam anggur banyak teknik mesti dipelajari, ada orang tidak pandai tanam dan jaga sampai dua hingga tiga tahun pun tidak keluar bunga.

“Anggur Jupiter keluar bunga dan buah paling cepat dalam dua hingga tiga bulan dan paling lambat masak dalam 120 hari,” ujarnya.

Peter memberitahu, aspek penjagaan, pembajaan dan penyiraman memainkan peranan penting untuk menjadikan buah anggur yang ditanam menjadi manis.

“Jika mahu buah lebih manis, semasa buahnya dalam proses menukar warna, kita bagi baja manis.

“Ataupun bagi buah anggur lambat masak dengan menutup buahnya dengan kertas untuk mengelakkan daripada terkena cahaya matahari. Sebab jika terkena cahaya matahari, buah anggur akan cepat masak,” ujarnya lagi.

Katanya, mula-mula tanam anggur untuk tujuan kegunaan keluarga sahaja, tapi kini ramai pelanggan mencari untuk membeli anak pokok anggur.

“Ada juga yang hendak membeli buah anggur daripada saya. Tapi buat masa ini, buah anggur belum dapat jual kerana untuk kegunaan keluarga pun masih belum mencukupi.

“Tunggu saya sudah tanam banyak suatu hari nanti kemungkinan bolehlah menjual buahnya,” ujar beliau.

Dari tahun lepas, katanya, ramai orang ingin datang ke rumahnya untuk melawat dan belajar teknik penanaman anggur, tapi beliau terpaksa menolak berikutan negara ini masih berdepan cabaran pandemik Covid-19.

“Jabatan Pertanian dahulu pernah memberitahu ingin membantu saya membina rumah hijau, tapi hingga sekarang masih belum, mungkin mereka sedang mencari cara untuk membantu, selain  cabaran Covid-19.

“Selain minat, tanaman anggur ini bagaikan aktiviti senaman dan baik untuk kesihatan. Saya tanam anggur kerana ingin makan anggur segar dan lebih sihat,” kata beliau.

Oleh AKUN GIMAN