Dana KWAN untuk perolehi vaksin

PUTRAJAYA: Sebanyak RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) akan digunakan untuk mempercepatkan pemerolehan vaksin Covid-19, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, KWAN memiliki dana RM19.5 bilion setakat 31 Dis 2020, merangkumi sumbangan Petronas sebanyak RM10.4 bilion dan baki RM9.1 bilion dari pulangan pelaburan terkumpul.

Di bawah Seksyen 6, Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 (Akta 339) membenarkan dana KWAN digunakan selepas tempoh 10 tahun bagi tujuan perbelanjaan pembangunan dan membiayai pinjaman mudah kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, katanya.

“Penggunaan dana KWAN hanya dihadkan untuk memperoleh vaksin, dan bukan untuk tujuan lain yang tidak dinyatakan di bawa undang-undang.

“Anggaran RM5 bilion untuk pemerolehan vaksin hanyalah menggunakan pelaburan yang dijana (RM9.1 bilion) tetapi jumlah pokok sumbangan RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan,” katanya dalam sidang media bagi menjelaskan isu dana KWAN di sini semalam.

Pada 21 April lepas, kerajaan telah meluluskan pindaan ke atas Akta 339 yang membolehkan dana daripada KWAN digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin, melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Tengku Zafrul berkata ia bertujuan mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan agar dapat mencapai imunisasi kelompok secepat mungkin pada hujung tahun ini berbanding sasaran asal pada Feb 2022.

Beliau berkata penggunaan dana KWAN bukanlah kali pertama digunakan kerajaan kerana sebelum ini dana yang sama berjumlah RM42 juta digunakan bagi projek Paya Indah Wetlands.

Beliau berkata tujuan KWAN ditubuhkan adalah untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber-sumber asli negara yang stabil untuk faedah negara dan generasi akan datang.

“Kitalah merupakan masa depan yang dimaksudkan semasa dana ini ditubuhkan. Kalau kita tidak boleh guna dana KWAN, sampai bila-bila pun generasi akan datang tidak boleh menggunakannya,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, semasa pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan mengunjurkan kos mendapatkan bekalan vaksin untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia melebihi RM3 bilion namun kos itu tidak termasuk dalam jumlah peruntukan sebanyak RM322.5 billion seperti dalam Belanjawan 2021.

Namun demikian, katanya di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan mengumumkan kenaikan peruntukan bagi program imunisasi kepada RM5 bilion daripada RM3 billion untuk mempercepat sasaran imunisasi berkelompok. – Bernama