Perintah berkurung New Delhi dilanjutkan

LUMPUH… Sistem kesihatan India lumpuh akibat peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 sehingga pesakit terpaksa dirawat di luar hospital.

NEW DELHI: Ibu negara India, New Delhi melanjutkan tempoh perintah berkurung ketika krisis Covid-19 negara itu meningkat dengan jangkitan dan kematian mencapai tahap tertinggi.

Sistem penjagaan kesihatan telah berjuang untuk mengatasi lonjakan besar dengan laporan kekurangan oksigen dan ubat-ubatan yang teruk serta keluarga pesakit meminta bantuan di media sosial.

India mencatatkan 349,691 kes baru dan 2,767 kematian dalam 24 jam terakhir yang tertinggi sejak bermulanya wabak ini.

Bandar raya utara yang merupakan rumah 20 juta penduduk dan paling teruk dilanda Covid-19 di India telah melanjutkan tempoh berkurung mulai semalam selama seminggu.

“Kami telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh berkurung selama satu minggu,” kata Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal.

“Malapetaka korona (virus) berlanjutan dan tidak pernah berehat.

Pada Ahad lalu, Delhi melaporkan hanya kurang dari 23, 000 kes baharu dengan lebih daripada satu perempat daripada mereka yang diuji memberikan hasil positif dan merekodkan 350 kematian.

Perdana Menteri, Narendra Modi mengatakan dalam sidang radio bulanan pada Ahad lalu bahawa India dikejutkan oleh ‘taufan’ ketika beliau meminta penduduk untuk mendapatkan vaksin dan tidak terpengaruh oleh khabar angin mengenai vaksin itu.

Inida melakukan hampir 141 juta suntikan vaksin setakat ini, tetapi para pakar mengatakan program vaksinisasi besar-besaran perlu ditingkatkan secara signifikan di negara yang memiliki 1.3 bilion penduduk.

Terdapat kritikan yang semakin meningkat terhadap pentadbiran Modi atas tuduhan yang dianggap kurang siap menjelang lonjakan.

Pada Ahad lalu, Twitter mengesahkan ia menyekat berpuluh-puluh tweet yang kritikal terhadap krisis setelah tuntutan undang-undang dari New Delhi.

“Sekiranya (kandungan) ditentukan sebagai tidak sah dalam bidang kuasa tertentu, tetapi tidak melanggar peraturan Twitter, kami mungkin menahan akses ke kandungan di India saja,” kata gergasi media sosial itu dalam satu kenyataan.

Beberapa tweet termasuk komen termasuk daripada penggubal undang-undang pembangkang daerah, mengenai sistem penjagaan kesihatan yang padat.

Kementerian Teknologi Maklumat (IT) memberitahu AFP ia meminta Twitter untuk menghapus 100 siaran, sambil menambah bahawa terdapat penyalahgunaan platform media sosial oleh pengguna tertentu untuk menyebarkan maklumat palsu atau menyesatkan dan menimbulkan kepanikan mengenai keadaan Covid-19 di India. –AFP