Kuching City berdepan tugas getir

SUNTIK SEMANGAT … Irfan Bakti sedang memberi amanat kepada pemain sebelum aksi menentang Perak FC II di Stadium Perak Ipoh malam ini. •Foto Ihsan Media KCFC

SKUAD Kuching City FC bakal menghadapi satu lagi tugas berat untuk memastikan tiga mata dalam genggaman apabila menentang Perak FC II di Stadium Perak Ipoh malam ini.

Walaupun gagal meraih sebarang mata ketika aksi menentang Kelantan United FC di Kuala Lumpur Sabtu lalu, prestasi merudum sejak akhir-akhir ini dilihat menyukarkan peluang mereka.

Kuching City amat memerlukan kemenangan untuk memulihkan reputasi, sekali gus memperbaiki kedudukan mereka yang kini berada ditangga kedua tercorot Liga Premier.

Berdasarkan kedudukan terkini, Kuching City yang kini memungut tujuh mata masih berpeluang untuk berada di tangga kelapan liga, tempat yang selamat untuk terus kekal dalam Liga Premier Ini kerana mereka hanya dipisahkan dua mata dengan Perak FC II yang berada ditangga kelapan, dan beza satu mata dengan PDRM FC ditangga kesembilan, manakala Skuad Projek FAM-MSN terus kekal berada dikedudukan tercorot liga.

Kuching City kalah empat kali, seri empat kali dan hanya sekali menang setelah melalui sembilan perlawanan.

Sabtu lalu, kekalahan Kuching City kepada Kelantan United FC menyaksikan Ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim semakin resah dengan prestasi pasukannya.

Ketua jurulatih berpengalaman itu jelas mahukan perubahan dari segi pemain setelah pasukan bimbingannya sekali lagi gagal menterjemahkan peluang yang terhidang, sekaligus menyaksikan gagal memungut mata penuh.

Irfan dalam satu sidang media selepas perlawanan Sabtu lalu juga menyatakan bahawa pemain asing pasukan beliau tidak memberi impak yang dikehendaki pada malam perlawanan tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa beliau tidak mengharapkan pemain import semata-mata, namun pemain import perlu memberi impak apabila diturunkan.

Sambil memberi bayangan kemungkinan banyak pemain import akan diganti pada pintu perpindahan kelak jika mereka terus gagal mempamerkan aksi yang diharapkan.

Bukan satu tugas yang mudah kepada Irfan Bakti untuk menggembalikan keyakinan anak-anak didiknya supaya terus fokus dalam mengharungi setiap perlawanan. 

Melalui kemenangan sahaja dapat meningkatkan kembali keyakinan pemain-pemain Kuching City selain penyokong-penyokong The City Boys.

Persoalannya, mampukah anak didik Irfan Bakti meraih tiga mata penuh apabila berkunjung ke Stadium Perak Ipoh malam ini menentang Perak FC II, sekaligus mengubah kedudukan terbaik mereka di Liga Premier 2021.

Oleh ADI SAFARMAN