NSFC gagal lebarkan jurang mata

SUFC yang diketuai Taylor Regan kental bertahan di barisan pertahanan oleh asakan bertubi NSFC sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan meraih satu mata berharga. •Foto IHSAN MFL

SKUAD Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal melebarkan jurang mata di kedudukan teratas Liga Premier selepas sekadar seri 1-1 dengan Sarawak United FC (SUFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam semalam.

Keputusan tersebut membolehkan skuad NSFC mengumpul 18 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan liga, manakala SUFC yang berada ditangga kedua pula mengumpul 17 mata hasil daripada lapan perlawanan.

Dalam perlawanan itu, skuad kendalian E Elavarasan terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi gol seawal minit pertama oleh pemain tengah, Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra menewaskan penjaga gol NSFC, Damien Lim.

Jaringan itu juga jelas dilihat memberi tekanan lebih awal buat skuad Hobin Jang Hobin yang turun dengan misi mahu mengekalkan kemenangan di laman sendiri.

Anak buah K Devan mensia-siakan peluang apabila bola lorongan Beom Geun Bae dari bahagian tepi di hadapan pintu gol gagal ditampan kemas R Barathkumar pada minit ke-36.

Malah, usaha kapten NSFC, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak yang melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol SUFC pada tempoh akhir babak pertama juga tidak membuahkan hasil.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat cuba memperkemaskan jentera serangan dalam usaha mendapatkan gol penyamaan.

Usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila Alain Thierry Akono menceriakan 1,444 orang penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol menerusi sepakan padu bola mati dari luar kotak penalti pada minit ke-61 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Kemudian tuan rumah terus menggandakan serangan namun sehingga tamat SUFC kental bertahan sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan meraih satu mata berharga.

Selepas sembilan perlawanan, NSFC masih mendahului Liga Perdana dengan mengumpul 18 mata, manakala SUFC mengekori di tangga kedua dengan 17 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.