Dari Kapit ke London Mimie martabatkan kain Burie

JAMESREKAAN yang menobatkan Mimie James sebagai penerima The Best Borneo Designer Award.

Jarang-jarang sekali kejayaan datang bergolek berkali-kali kepada seseorang tetapi bagi  pereka fesyen tradisional Sarawak, Drothy James Chayak atau lebih dikenali sebagai Mimie James, 39, rezeki itu datang ibarat durian runtuh.

Bekas penerima The Best Borneo Designer Award asal Kapit ini masih terus memartabatkan kain tradisional kebanggaan kaum Iban ini dengan menyuntik elemen tradisi ini di dalam pakaian moden.

Mengimbau pengalaman indahnya itu, Mimie berkata kejayaan itu bukan sahaja tidak disangka-sangka, malah tidak dirancang kerana beliau mula mereka pakaian berkonsep tradisi Iban iaitu Burie pada awal tahun 2019 dan kemudian menerima anugerah pada tahun yang sama.

Bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Nanga Bawai di Kapit, Mimie berkata beliau memulakan usaha mereka pakaian moden berinspirasikan kain Burie dari ‘ngepan’ Iban Hulu Rajang selepas melihat ramai orang menghasilkan kain Burie untuk dijadikan tali pinggang, selendang dan rompi.

Menariknya, beliau tidak belajar membuat kain Burie daripada sesiapa, cukup hanya dengan melihat kain Burie asli milik keluarga mereka.

“Dari situ timbul minat dan ilham untuk menerapkan unsur Burie ke dalam rekaan moden agar dapat dipakai oleh golongan muda.  Sasaran saya adalah mereka yang berusia 25 hingga 55 tahun, terutama golongan bekerja,” kata Mimie.

Beliau cepat merebut peluang yang ada untuk berkarya dengan mencipta sesuatu yang baharu, lebih moden dan bersesuaian dengan konsep ‘ready to wear’ (RTW) atau sedia dipakai

“Tambahan pula saya tertarik dengan pepatah ‘from the old to the new’,” kata Mimie.

Beliau mengambil keputusan untuk mereka beberapa helai baju, palazzo dan skirt yang membawa konsep RTW. Dalam tempoh dua bulan, siaplah lapan pasang koleksi peribadi beliau yang pertama.

Teruja melihat hasil tangannya, Mimie menghasilkan video pendek dengan memperagakan rekaan tersebut yang kemudian dimuat naik di laman sosial Facebook dan Instagram beliau.

“Sambutan yang diterima amat mengejutkan kerana rekaan saya menjadi tular di media sosial,” kata Mimie.

Kejutan itu belum berakhir  kerana selepas itu beliau menerima panggilan daripada Pengurus Program International Borneo Festival yang bertanyakan sekiranya beliau berminat untuk menyertai pertandingan rekaan busana yang bermotifkan sentuhan Borneo peringkat separuh akhir  di  Kuala Lumpur pada Jun 2019.

“Saya terus bersetuju. Tanpa diduga, saya terpilih antara peserta Top 3 dan layak untuk menyertai pertandingan di London pada Disember 2019. Sekali lagi tuah itu jatuh ke tangan saya apabila dinobatkan sebagai The Best Borneo Designer Award di London” kata Mimie.

Balik dari London, Mimie menggalas tugas besar dengan membuat program jelajah seluruh Sarawak bagi  memberi khidmat tutorial menghasilkan rekaan RTW jahitan Burie Jelajah ini mengambil masa dua minggu dan program dilaksanakan di lokasi seperti Sibu, Bintulu, Miri, Sarikei, Betong dan Kuching.

Kemenangan di peringkat antarabangsa itu juga membuka banyak ruang kepada Mimie, terutama jemputan untuk membuat pertunjukan fesyen di majlis-majlis serta jemputan menyertai pameran untuk berkongsi kejayaan sambil memberi inspirasi kepada orang ramai bahawa kreativiti yang ada pada diri boleh dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan yang amat  lumayan apabila berada di landasan yang betul.

Kejayaan yang diraih serta usaha Mimie mempromosikan kain Burie ini juga melayakkan beliau untuk menerima Anugerah Usahawan Berjaya Bahagian Kapit 2019 yang diterima beliau pada Februari 2020.

Menurut Mimie, beliau masih gigih mengasah ilham untuk menghasilkan rekaan-rekaan baharu bagi memperkenalkan keunikan budaya dan tradisi Sarawak ini ke mata dunia. 

“Hampir dua tahun berkecimpung di dalam bidang rekaan Burie RTW, saya sudah menghasilkan lebih 500 helai pakaian dan semuanya habis dijual,” kata beliau.

Ternyata Mimie memang dianugerahkan dengan bakat yang pelbagai kerana beliau juga boleh mengandam pengantin, menghias pelamin, membuat jambangan bunga dan hadiah untuk khidmat ‘surprise delivery’ serta membuat dekorasi majlis.

Beliau juga kerap memanfaatkan studio fotografi milik suaminya untuk menawarkan khidmat fotografi, sama ada di dalam atau di luar studio.

Oleh HAINI DARANI