PETRONAS tempat kerja terbaik di Malaysia 2021

BERADA DI KEDUDUKAN PERTAMA… Dalam senarai Syarikat Utama LinkedIn di Malaysia 2021, LinkedIn menjelaskan syarikat yang menguasai senarai Malaysia tahun ini termasuk Permodalan Nasional Bhd, Tenaga Nasional Bhd, AIA Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Accenture Solutions Sdn Bhd, Maybank, OCBC Bank, PricewaterhouseCoopers dan Axiata Group Bhd.

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) berada di kedudukan pertama dalam senarai Syarikat Utama LinkedIn di Malaysia 2021, yang menamakan 15 tempat kerja terbaik untuk membangunkan profesional dan mencapai kemajuan kerjaya.

Dalam kenyataan semalam, LinkedIn menjelaskan syarikat yang menguasai senarai Malaysia tahun ini termasuk Permodalan Nasional Bhd, Tenaga Nasional Bhd, AIA Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Accenture Solutions Sdn Bhd, Maybank, OCBC Bank, PricewaterhouseCoopers dan Axiata Group Bhd.

Editor Berita Kanan Asia-Pasifik, Chris Anderson berkata LinkedIn mendapati syarikat-syarikat terbaik ini telah mengutamakan para pekerja mereka dengan melaksanakan pelbagai dasar berkaitan kesejahteraan dan kesihatan mental di samping membantu mereka menerusi program latihan dan pembangunan.

“Tahun lepas memberi cabaran luar biasa bagi ramai orang di seluruh dunia dan metodologi syarikat-syarikat utama kami membuktikan realiti ini.

“Ini mendorong kami mengetengahkan syarikat-syarikat yang melabur dalam pembangunan pekerja memandangkan kita mengharungi dunia kerjaya yang berubah selamanya ekoran pandemik,” katanya.

LinkedIn merupakan rangkaian profesional terbesar dunia yang menghubungkan 740 juta ahli dan pejabat di seluruh dunia.- Bernama