Jumlah perdagangan Malaysia berkembang 25.6 peratus

KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia terus mencatatkan trend peningkatan pada Mac 2021, merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah perdagangan berkembang 25.6 peratus kepada RM185.74 bilion berbanding Mac 2020.

“Eksport naik 31 peratus melebihi aras RM100 bilion, bernilai sebanyak RM104.95 bilion. Import meningkat 19.2 peratus kepada RM80.79 bilion dan lebihan dagangan melonjak 96.1 peratus kepada RM24.15 bilion.

“(Justeru) perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan telah merekodkan pertumbuhan dua digit bagi dua bulan berturut-turut,” katanya menerusi satu kenyataan mengenai prestasi perdagangan luaran negara bagi Mac 2021.

Bagi suku pertama 2021, jumlah perdagangan berkembang 14.8 peratus kepada RM505.65 bilion berbanding suku yang sama tahun lepas.

Eksport meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM282.14 bilion dan import naik 10.8 peratus kepada RM223.51 bilion. Lebihan dagangan berkembang 58.6 peratus tahun ke tahun kepada RM58.63 bilion pada suku pertama 2021.

Mohamed Azmin berkata, kenaikan eksport pada Mac telah disokong peningkatan dalam permintaan global terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) khasnya semikonduktor untuk kegunaan rangkaian 5G dan pengkomputeran berprestasi tinggi serta keluaran getah.

Eksport ke pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) telah mencatatkan nilai eksport yang tertinggi setakat ini.

Berbanding Februari 2021, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing berkembang sebanyak 18.1 peratus, 19.8 peratus, 15.9 peratus dan 35.1 peratus.

Berbanding suku pertama 2021 dengan suku keempat 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus, 3.9 peratus dan 5.6 peratus. Lebihan dagangan menyusut  2.1 peratus.

Mengenai prestasi eksport sektor utama, Mohamed Azmin berkata eksport barangan perkilangan pada Mac 2021 merekodkan nilai tertinggi setakat ini sebanyak RM91.21 bilion atau 86.9 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 34.9 peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran getah, barangan perkilangan logam, kimia dan bahan kimia serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

“Kesemua barangan ini juga mencatatkan nilai eksport yang tertinggi setakat ini,” katanya.

Eksport keluaran pertanian (7.1 peratus syer) melonjak 43.8 peratus kepada RM7.48 bilion berbanding Mac 2020 disokong terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Bagaimanapun, eksport hasil galian (5 peratus syer) berkurangan 24.1 peratus tahun ke tahun kepada RM5.23 bilion berikutan penyusutan eksport gas asli cecair, petroleum mentah serta bijih logam dan serpihan logam.

Pada Mac 2021, barangan E&E merupakan eksport utama bernilai RM39.54 bilion, meningkat 47.1 peratus daripada tahun sebelumnya dan merangkumi 37.7 peratus daripada jumlah eksport.

Keluaran getah di kedudukan kedua yang bernilai RM7.32 bilion (7.0 peratus daripada jumlah eksport), melonjak 210.6 peratus tahun ke tahun.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing naik sebanyak 20.2 peratus, 31.4 peratus dan 0.8 peratus.

Mengenai prestasi import, Mohamed Azmin berkata, jumlah import meningkat 19.2 peratus tahun ke tahun kepada RM80.79 bilion berbanding Mac 2020.

Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 73.1 peratus daripada jumlah keseluruhan import adalah barangan pengantara (RM43.65 bilion atau 54 peratus daripada jumlah import), barangan modal (RM8.32 bilion atau 10.3 peratus) dan barangan penggunaan (RM7.12 bilion atau 8.8 peratus).

Import barangan pengantara naik 4.6 peratus kepada RM121.38 bilion, barangan modal (RM23.15 bilion, menokok 32.7 peratus) dan barangan penggunaan (RM19.56 bilion, naik 10.1 peratus).

Untuk maklumat lanjut, layari laman web MITI di  http://www.miti.gov.my dan portal Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), http://www.matrade.gov.my.

 MATRADE berkata ini merupakan keluaran awal dan keterangan terperinci akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan dalam laporan perangkaan perdagangan luar negeri bulanan yang akan diedarkan pada 4 Mei 2021.- Bernama