Pesakit Covid-19 ‘sedut oksigen’ tepi jalan

OKSIGEN…Pesakit Covid-19 diberi bekalan oksigen di dalam beca berikutan keadaan hospital yang sesak dan mengalami masalah kekurangan bekalan oksigen.

GHAZIABAD: Himanshu Verma menghela nafas lega ketika pelitup dipasang di wajah ibunya yang memungkinkan pesakit Covid-19 dapat menghirup oksigen ketika dia duduk di tepi jalan yang sibuk di New Delhi.

Oleh kerana jangkitan mencetuskan kekurangan gas di hospital, pesakit berpusu-pusu menuju ke khemah di luar Gurdwara, tempat pemujaan Sikh di Kota Ghaziabad dengan ketibaan kereta, beca dan ambulans tanpa henti.

“Kami memerlukan rawatan tetapi kami tidak dapat mencari tempat tidur di Hospital Delhi,” kata Verma, 32, kepada AFP ketika ibunya, Poonam, 58 tahun diberikan pelitup oksigen.

“Kami akan tinggal di sini sepanjang malam jika harus. Kami tidak mempunyai pilihan lain,” ujarnya.

Di sekeliling Gurdwara, pesakit Covid-19 berbaring di bangku di tempat duduk belakang beca.

Ahli keluarga pesakit berkipas menggunakan kepingan kadbod ketika suhu meningkat hingga 38 darjah Celsius.

“Kami mendapat lebih banyak kes dari hari ke hari,” kata Ishant Bindra, 28 tahun, seorang sukarelawan dengan Khalsa Help International, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Gurdwara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa kira-kira satu dari lima orang pesakit Covid-19 menderita gangguan pernafasan dan memerlukan terapi oksigen.

India telah mencatatkan 2.3 juta jangkitan baharu dalam tempoh seminggu yang lalu.

Sementara di Delhi, bandar yang paling terjejas teruk akibat Covid-19 dengan sekitar 20,000 hingga 25,000 kes bertambah setiap hari.

Pesakit telah meninggal di luar hospital ketika menunggu untuk dimasukkan.

Di beberapa tempat, bahkan mereka yang berjaya masuk kemudian dilaporkan meninggal dunia kerana bekalan oksigen yang rendah.

Sebahagian keluarga mengatakan di media sosial bahawa mereka diminta hospital untuk mendapatkan silinder mereka sendiri. -AFP