Lelaki cuba seludup 35 burung

DITAHAN… Seorang lelaki ditahan selepas pegawai kastam di Lapangan Terbang JFK New York menemui 35 burung Finch yang dilekatkan pada jaket dan pergelangan buku lalinya.

NEW YORK: Pegawai kastam di Lapangan Terbang JFK New York menemui 35 burung Finch yang dilekatkan pada jaket dan buku lali lelaki ketika dia cuba menyeludupnya ke negara itu untuk pertandingan nyanyian, kata pendakwa raya persekutuan pada Selasa lalu.

Hasil carian mendapati lelaki itu memakai puluhan bekas berbentuk silinder kecil dengan bukaan bagi membolehkan burung-burung di dalamnya bernafas, menurut foto yang diterbitkan dalam talian.

Kira-kira 12 bekas yang dibuat dari penggulung rambut yang dilekatkan di bahagian dalam jaketnya, sementara selebihnya dililit di pergelangan kakinya.

Ketika disoal, lelaki itu mengatakan bahawa dia ditawarkan AS$ 3,000 untuk mengangkut burung itu, menerima AS$ 500 sebelum dia meninggalkan ibu kota Guyana, Georgetown.

Dia akan menerima baki selebihnya semasa penghantaran di Amerika Syarikat (AS).

Burung Finch boleh menghasilkan bunyi merdu dan sering digunakan dalam pertandingan nyanyian di beberapa kawasan di Queens dan Brooklyn di New York termasuk pertaruhan.

Menurut ejen khas untuk Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS dalam dokumen yang dikeluarkan oleh pendakwa raya, burung Finch yang menang boleh bernilai lebih daripada AS$ 10,000.

Pada masa sama, burung Finch dari Guyana sangat diminati kerana kemampuan menyanyi dengan merdu.

Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan bon AS$ 25,000, menurut dokumen.

Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) dengan memetik angka terakhir yang ada, pegawai merampas 20,762 haiwan liar pada 2017 di seluruh dunia. -AFP