1.2 JUTA DAFTAR DIVAKSIN

PENGHANTARAN vaksin Covid-19 berjadual secara mingguan dari Program Vaksinasi Covid-19 Nasional (PICK) tiba di Kuching, Rabu lalu.

KUCHING: Dianggarkan sebanyak 1.2 juta bersamaan dengan 55 peratus rakyat Sarawak mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, satu lagi vaksin Covid-19 berjadual mingguan dari Program vaksinasi Covid-19 Nasional (PICK) tiba di Kuching.

“Oleh kerana kita telah mendapat lebih banyak jenis vaksin dan lebih banyak dos vaksin di Malaysia mulai bulan Mei dan seterusnya, Sarawak bersedia untuk meningkatkan skala dengan cepat (sehingga 20,000 suntikan sehari daripada kedua-dua kemudahan kesihatan swasta dan awam).

“Kita berterima kasih di atas kerjasama erat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

“Sarawak akan terus memperjuangkan hak perkongsian di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta berusaha mencari alternatifnya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kemaskini laman Faceboknya, pada Rabu.

Dr. Sim yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Sarawak berada di landasan yang tepat untuk menyelesaikan vaksinasi bagi mereka yang layak mendaftar menjelang Ogos.

Katanya, 2.2 juta rakyat Sarawak layak untuk Program Vaksinasi Nasional Covid-19.

“Walaupun selepas 868,000 rakyat Sarawak telah mendaftar dalam MySejahtera dan 250,000 hingga 300,000 lain (selepas pembersihan data mengelakkan pertindihan) pendaftaran secara manual, kemungkinan paling banyak 1.2 juta orang Sarawak mendaftar (55 peratus),” jelasnya.

Dr. Sim berkata, vaksin jenis Pfizer, selepas dos pertama, tiga minggu seterusnya adalah untuk dos kedua, vaksin Sinovac pula selepas dos pertama, empat minggu untuk dos kedua.

Sementara itu bagi vaksin AstraZeneca selepas satu dos, tiga bulan untuk dos kedua, Vaksin Cansino (hanya satu dos) dan vaksin Sputnik adalah dua dos.

Oleh JEAKQLEYN YACHO