JBPM Bintangor hantar bakul makanan ke Meradong

BANTUAN….Pegawai JKM dan anggota JBPM Bintangor ketika menghantar bantuan bakul makanan ke Rumah Giman di Skim B Meradong.

SIBU:Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor membantu menghantar bantuan bakul makanan kepada tiga rumah panjang dan sebuah kampung di daerah Meradong yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, operasi tersebut diketuai oleh PBK II (TBK1) Adam Gaok disertai bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarikei dan Meradong.

“Tiga rumah panjang tersebut ialah Rumah (Rh) Dangat, Sungai Kuyat, Rh Temaga, Sungai Kawi dan Rh Giman, Skim B Meradong. Dan Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan, Bintangor.

“Sebanyak 320 paket bakul makanan dihantar kepada penduduk di tiga rumah panjang dan sebuah kampung tersebut,” jelasnya menerusi satu kenyataan, semalam.