Appom, asal Kerala tapi popular di Malaysia

APPOM diperbuat daripada bahan-bahan mudah seperti beras, nasi, kelapa parut, yis, gula dan garam.

Jika anda biasa mencicah kari dengan roti canai, apa kata kali ini ubah sedikit dengan merasai keenakan Appom, sejenis makanan kaum India yang dikatakan berasal dari daerah Kerala.

 Keenakannya hampir sama dengan roti canai, ia mengenyangkan dan pasti menepati selera sama ada  untuk sarapan, makan tengah hari atau makan malam.

Appom diperbuat daripada bahan-bahan mudah seperti beras, nasi,  kelapa parut, yis, gula dan garam. Malah cara membuatnya juga tidak rumit dan boleh siap dalam masa singkat asalkan bahan-bahannya sudah disediakan terlebi dahulu.

Untuk membuat aduanannya, bersihkan beras dan rendam sehingga lima jam. Di dalam bekas yang lain, rendam yis dengan air suam bersama gula dan biarkan mengembang.

 Selepas lima jam, kisar beras yang direndam tadi bersama air yis sehingga halus dan tiada lagi partikel beras.

Masukkan nasi bersama kelapa parut dan sedikit garam dan gula lalu kisar lagi sehingga hancur.  Ketika ini adunan Appom sudah siap.

Simpan adunan ini di dalam bekas yang agak besar bagi memberi ruang kepada adunan untuk mengembang dan biarkan sehingga lapan jam.

Apabila ingin membuat Appom, tambah sedikit  air untuk mencairkan adunan kerana selepas mengambang, adunannya agak berbuih.

Kunci kejayaan membuat Appom yang cantik dan lembut adalah kemahiran menentukan tahap kecairan adunan.  Tuang sesenduk ke dalam kuali yang sudah disapu sedikit minyak dan pusing-pusingkan kuali untuk meratakan adunan seperti membuat kuih ketayap.

Untuk hasil yang cantik, gunakan kuali yang tidak melekat.

Tutup kuali dan masak dengan api perlahan.  Appom cepat masak dan hanya mengambil masa kurang tiga minit untuk menyiapkannya.

Menurut pembuat Appom, Dayang Siti Nor Fitrah yang beroperasi di Medan Niaga Satok, Appom enak dimakan dengan kari, susu, kaya atau apa sahaja mengikut selera individu. 

“Appom ini seperti roti canai juga, boleh dimakan dengan apa sahaja mengikut selera sendiri,” kata beliau.

Menariknya, adunan Appom ini boleh disimpan berminggu lamanya dan anda tidak perlu membancuh adunan setiap kali ingin menikmatinya.

Walaupun masakan ini merupakan sajian biasa bagi masyarakat India namun ia turut digemari masyarakat lain di negara ini, terutama bagi mereka yang inginkan kelainan di dalam hidangan harian mereka.

Oleh HAINI DARANI