SC kemas kini MCCG

MCCG 2021 menyokong lembaga pengarah untuk membangunkan daya tahan jangka panjang melalui penerimagunaan dan pelaksanaan dasar serta amalan tadbir urus korporat yang akan menyokong syarikat tersenarai menghadapi cabaran dalam persekitaran perniagaan yang pantas berubah.-Datuk Syed Zaid Albar

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) yang dikemaskinikan dengan menyaksikan pengenalan amalan terbaik baharu dan panduan lanjut bagi memperkukuh budaya tadbir urus korporat syarikat tersenarai.

Menurut kenyataan pada Rabu (28 Mac), SC menjelaskan MCCG 2021 berkuat kuasa pada tarikh yang sama dan kumpulan pertama syarikat mula melaporkan pemakaian amalan ini adalah syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Disember 2021.

Proses pengundian dua peringkat akan diguna pakai bagi resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat agung yang diadakan pada atau selepas 2 Januari 2022, tambahnya.

SC menekankan MCCG terkini itu memberi tumpuan, antaranya, kepada dasar dan amalan lembaga pengarah mengenai proses/kriteria pemilihan dan pencalonan untuk pengarah selain panduan lanjut bagi amalan yang mencatatkan tahap terima pakai yang rendah seperti dilaporkan dalam laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat tahunan SC.

MCCG 2021 turut menumpukan peranan lembaga pengarah dan pengurusan kanan dalam menangani risiko dan peluang kemampanan syarikat.

“Kali terakhir MCCG dikemaskinikan adalah pada 2017 dan sejak itu SC mendapati pengamalan kod yang menggalakkan oleh syarikat tersenarai dengan majoriti amalan terbaik mencatatkan tahap terima pakai melebihi 70 peratus,” jelasnya.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, MCCG 2021 menyokong lembaga pengarah untuk membangunkan daya tahan jangka panjang melalui penerimagunaan dan pelaksanaan dasar serta amalan tadbir urus korporat yang akan menyokong syarikat tersenarai menghadapi cabaran dalam persekitaran perniagaan yang pantas berubah.

“Terdapat keperluan kukuh terhadap tadbir urus korporat dan kepemimpinan lembaga pengarah yang baik, terutama ketika syarikat menghadapi tempoh pemulihan pasca pandemik yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan itu.

SC menambah MCCG 2021 juga menangani keperluan mendesak bagi syarikat untuk menguruskan risiko dan peluang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan pengenalan amalan terbaik baharu yang menekankan keperluan tindakan bersama oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan.

Badan pengawal selia itu juga menekankan bagi menggalakkan pelaksanaan pertimbangan objektif dan bebas yang selaras dengan amalan terbaik di peringkat global, MCCG 2021 tidak menggalakkan pelantikan ahli-ahli politik yang aktif dalam lembaga syarikat tersenarai.

Menurut SC untuk mempercepat kemajuan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah, MCCG 2021 juga mengesyorkan semua syarikat tersenarai mempunyai lembaga pengarah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 peratus pengarah wanita.

SC juga mendapati isu berkaitan dengan pelantikan semula pengarah bebas yang telah lama berkhidmat tetap menjadi perhatian.

Setakat 31 Mac 2021, 434 pengarah bebas mempunyai tempoh perkhidmatan melebihi 12 tahun, di mana 49 pengarah bebas telah berkhidmat dalam lembaga pengarah yang sama selama lebih 20 tahun, menurutnya.

“Bagi menggalakkan rombakan berkala komposisi lembaga pengarah, MCCG mengesyorkan agar proses pengundian dua peringkat dilaksanakan untuk pelantikan semula pengarah bebas dengan tempoh perkhidmatan melebihi sembilan tahun,” jelasnya.

SC memaklumkan proses pengundian dua peringkat yang kali pertama diperkenalkan pada 2017, bertindak sebagai satu bentuk kawalan bagi lembaga pengarah dan pemegang saham untuk menilai dengan teliti keputusan untuk mengekalkan pengarah bebas dengan tempoh perkhidmatan melebihi 12 tahun.

Proses itu juga memberi peluang kepada pemegang saham minoriti untuk memilih bagi menentang pengekalan tersebut dalam proses pengundian peringkat kedua, jelasnya.

“Susulan semakan kepada MCCG tersebut, Bursa Malaysia akan memperkenalkan had tempoh perkhidmatan selama 12 tahun tanpa pelanjutan bagi pengarah bebas dalam Keperluan Penyenaraian pada suku keempat 2021.

“Bursa akan mendapatkan maklum balas daripada penerbit tersenarai dan pihak industri sebelum memuktamadkan garis masa pelaksanaan tersebut,” tambahnya.

Sebarang pertanyaan mengenai MCCG boleh diajukan kepada mccg@seccom.com.my manakala untuk maklumat lebih lanjut mengenai MCCG baharu, boleh layari https://www.sc.com.my/regulation/corporate-governance.- Bernama