Titik permulaan untuk bangkit

IRFAN Bakti Abu Salim

PENGENDALI Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim menjelaskan bahawa kemenangan yang diciptakan oleh anak buahnya keatas Perak FC II, Rabu lalu seharusnya menjadi titik permulaan untuk bangkit selepas ini apabila pasukannya akan bermain di Kuching sehingga tamat musim.

Kuching City kata Irfan tidak lagi ‘berkampung’ di Semenanjung selepas ini, kerana semua 10 aksi pusingan kedua akan berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching.

“Ini kemenangan kedua jadi ini satu ‘breaking point’ untuk kami dimana semua perlawanan pusingan kedua nanti akan dimainkan di Kuching, Sarawak,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Irfan juga mendedahkan bahawa pemain-pemain telah lama tidak balik ke Kuching kerana kuarantin 14 hari yang dikenakan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), dan beliau telah memberitahu bahawa jika pemain mahu balik dengan perasaan gembira, kemenangan harus dicipta pada malam tersebut.

“Kami dah dua bulan tak balik ke Sarawak kerana arahan kuarantin oleh SDMC.

“Saya beritahu pemain, kalau nak balik seronok, kalau nak bercuti, anda kena pungut tiga mata malam ini,” jelas Irfan lagi.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan Perak FC ll kerana telah bersetuju mengawalkan perlawanan Liga Premier ke-10 bagi Kuching City.

Kuching City sebelum ini dijadualkan bermain pada malam ini (Khamis), namun hasil persetujuan PAFA, perlawanan tersebut telah diawalkan sehari bagi membolehkan pemain dan pegawai Kuching City membuat persediaan untuk balik ke Sarawak.

Ini sekali gus memberi pemain Kuching City masa cukup untuk menjalani kuarantin 14 hari dan merayakan Hari Raya bersama keluarga mereka yang telah ditinggalkan hampir dua bulan.

Irfan menjelaskan disebabkan mereka akan ‘balik kampung’, pemain dan pegawai Kuching City perlu menjalani kuarantin 14 hari seperti yang disyaratkan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kami berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Perak kerana bersetuju bermain malam ini, kerana kalau kita main malam esok, balik lewat, tak sempat beraya,” ujar Irfan selepas perlawanan.

Terdahulu, Kuching City menutup saingan pusingan pertama Liga Premier 2021 dengan kemenangan 2-0 ke atas Perak FC II dalam aksi di Ipoh malam Rabu lalu.

Kedua-dua gol Kuching City dijaringkan pada babak kedua melalui Mohamad Alif Hassan minit ke-57 dan ketua pasukan, Joseph Kalang Tie pada minit ke-93 masa kecederaan.

Oleh ADI SAFARMAN