Sri Aman FA sedia turun padang

SEDIA TURUN PADANG… Skuad Sri Aman FA akan menyambung semula latihan empat hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

PENGURUSAN pasukan Sri Aman FA mengambil langkah drastik dengan menyambung latihan empat hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai persediaan mengharungi saingan Liga SSC-FAS yang disambung semula pada 22 Mei nanti.

Pengurus pasukan Sri Aman FA, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata langkah itu penting buat pemainnya supaya mereka sentiasa berada pada tahap terbaik dan cergas serta bertenaga ketika beraksi.

Selain itu, katanya jadual perlawanan yang begitu padat yang memasuki pusingan kedua bagi Zon Tengah Sarawak selepas Aidilffitri nanti membuatkan beliau tidak mempunyai pilihan kecuali meningkatkan stamina dan kekuatan fizikal anak-anak buahnya.

Kata Awang Putrayusrie, pemain hanya diberi cuti selama tiga hari saja sempena Aidilfitri dan selepas itu latihan akan disambung semula seperti biasa kerana pada 22 Mei nanti, pasukannya dijangka akan berkunjung ke Stadium Mini Song untuk menentang Kapit FA.

“Kita hanya ada masa seminggu untuk adakan latihan singkat, dan pemain perlu bekerja keras dalam tempoh seminggu itu dan pemain perlu memberi tumpuan kepada kecergasan atau fizikal mereka.

“Saya harap apabila mereka kembali pada hari raya keempat nanti, komitmen dan persefahaman meningkat dalam usaha memperkasakan pasukan selepas sebulan tempoh rehat diberikan sepanjang bulan Ramadan,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Awang Putrayusrie turut menuntut barisan pemainnya memberikan aksi yang lebih padu selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Katanya anak didik ketua jurulatih, Sufian Ibrahim dan dibantu Ramos Sari dan Ramles Sari itu kini berada dalam ‘mood’ terbaik dalam bersedia memastikan pasukan itu terus mendahului carta Zon Tengah Sarawak.

“Sudah tentu kita mahu meneruskan momentum kemenangan selepas rehat panjang sejak menewaskan Sarikei FA 2-0 di gelanggang lawan pada 3 April lalu.

“Saya percaya pemain juga memiliki misi yang serupa untuk memburu kemenangan pada baki perlawanan lain selepas ini,” ujar Awang Putrayusrie.