2,340 dos vaksin Fasa 2 diperuntukkan di Sarikei

TINJAUAN… Datu Len Talif Salleh menyaksikan seorang penerima warga emas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

SARIKEI: Sejumlah 2,340 dos vaksin Covid-19 diperuntukkan untuk penerima di Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2 Peringkat Bahagian Sarikei.

Program ini diadakan selama empat hari dan telah bermula pada 30 April lalu dan berakhir hari ini.

Sebanyak dua lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Bahagian Sarikei iaitu bertempat di Dewan Suarah Sarikei dan Hospital Sarikei.

PPV Dewan Suarah Sarikei akan mengendalikan 2,220 dos vaksin Covid-19, manakala PPV Hospital Sarikei akan mengendalikan 120 dos vaskin Covid-19.

Hadir mewakili Timbalan Ketua Menteri yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah merasmikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2 Peringkat Bahagian Sarikei di Dewan Suarah Sarikei pada Jumaat lalu ialah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Katanya, bagi Fasa 2, seramai 478 penerima membabitkan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap penyakit kronik menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada hari pertama program tersebut.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei (JPBBS) serta Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) Bahagian dan Daerah Sarikei telah mengadakan Program Simulasi PICK pada 22 April 2021 yang lalu sebagai persediaan dan kesiapsiagaan dalam proses pemberian vaksin kepada rakyat bagi fasa kedua.

“Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sarikei bahawa pendaftaran untuk pemvaksinan empat daerah iaitu Sarikei sebanyak 65 peratus berdaftar daripada 45,535 orang, Meradong sebanyak 91 peratus berdaftar daripada 23,487 orang, Pakan sebanyak 90 peratus berdaftar daripada 12,466 orang dan Julau sebanyak 88 peratus daripada15,598 orang, “katanya.

Datu Len yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang juga menyeru kepada yang belum mendaftar untuk segera mendaftar melalui MySejahtera atau menerusi pejabat daerah dan Klinik Kesihatan Daerah.

Turut hadir Residen Sarikei, Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr. Emmanuel Joseph Fong.

Oleh EARL ANEK