Peruntukan projek khas, MRP Kabong

PENYAMPAIAN GERAN… Chee Kadir merakamkan gambar bersama penerima peruntukan geran projek khas Perdana Menteri dan juga geran MRP DUN Kabong.

KABONG: Peruntukan geran projek khas berjumlah RM160,000 oleh Perdana Menteri telah disalurkan kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata peruntukan berjumlah RM160,000 tersebut akan disumbangkan kepada persatuan-persatuan, pertubuhan dan kelab bagi menjalankan aktiviti mereka.

“Peruntukan khas yang disalurkan oleh Perdana Menteri kepada DUN Kabong itu akan disalurkan kepada beberapa persatuan, kelab serta pertubuhan bagi menjalankan aktiviti yang akan dilaksanakan oleh mereka kelak.

“Diharapkan dengan sumbangan yang telah disalurkan itu akan memberi manfaat kepada penerima,” katanya semasa melakukan penyerahan geran projek khas Perdana Menteri kepada 22 persatuan dan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Kabong dekat sini semalam.

Chee Kadir berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri diatas sumbangan peruntukan kepada DUN Kabong, sekaligus penerima memanfaatkan peruntukan itu untuk menganjurkan aktiviti melibatkan masyarakat.

“Oleh itu, gunakan dana yang diberikan untuk menganjurkan aktiviti. Saya juga menggalakkan program yang memanfaatkan penduduk agar ia dapat membantu semua pihak,” ujarnya.

Chee Kadir turut berpesan kepada masyarakat di luar bandar agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan pandemik Covid-19.

“Elakkan daripada pergi ke kawasan berisiko, dan bagi yang berada di kawasan berisiko tolong jaga kepentingan keluarga masing-masing. Apatah lagi pandemik Covid-19 ketika ini sedang menular ke seluruh Sarawak,” tambah Chee Kadir lagi.

Selain itu, Chee Kadir turut menyampaikan geran MRP kepada masjid dan surau kawasan DUN Kabong sempena Ramadan 1442 Hijrah tahun ini.

Sebelumnya, beliau turut menyerahkan geran sama kepada beberapa masjid dan surau sekitar Kampung Gerigat, Kampung Nyabor, Kampung Sessang, Kampung Emplam dan Kampung Alit.

Antara yang menerima geran berkenaan ialah Masjid Assabirin, Kabong, Surau Darul Ehsan Kampung Hilir Kabong, Surau Darul Taqwa Kampung Hulu Kabong, Surau Amanah Kampung Hilir Darat Kabong, Surau Al-Muttaqqin PIBG Abang Leman Kabong, Surau Darul Taqwa Sungai Endot, Surau Darul Nadwah, Kampung Hulu Darat, Kabong dan Surau Metang Disa, Kabong.

Oleh ADI SAFARMAN