Lebih 200 saman dikeluarkan

DITAHAN… ACP Mohamad Noor Yusof Ali memberi nasihat kepada penunggang motosikal yang ditahan atas pelbagai kesalahan di Kampung Tanjung Lumpur, di Kuantan awal pagi semalam. • Foto BERNAMA

KUANTAN: Lebih 200 saman dikeluarkan kepada 156 penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dilakukan mereka dalam satu operasi khas yang dijalankan di Tanjung Lumpur, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata bertindak atas maklumat sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan telah melakukan pemeriksaan terhadap kumpulan tersebut sekitar 8.45 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas 156 motosikal itu melibatkan 161 individu termasuk dua wanita yang berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun.

“Pemeriksaan awal mendapati selain tidak ada lesen, kebanyakan motosikal tidak mempunyai nombor pendaftaran, menggunakan saiz yang kecil dan pelbagai warna bagi mengelak ia dibaca atau dikesan penguat kuasa.

“Sebanyak 35 motosikal turut disita kerana telah didapati melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan mereka. Polis juga telah keluarkan lebih 200 saman susulan, setiap daripada mereka terdapat satu kesalahan malah ada yang lakukan dua hingga tiga kesalahan,” katanya, kepada pemberita di sini malam semalam.

Tambah beliau, seorang anggota berpangkat sarjan telah mengalami kecederaan di bahagian kaki susulan cuba menahan motosikal yang akhirnya berjaya lolos dalam operasi tersebut.

— Bernama