Etnik minoriti Narum diancam kepupusan

PENEMUAN kubur lama etnik Narum di tebing Sungai Hilir Kampung Narum.

Etnik Narum merupakan salah satu etnik minoriti pribumi Sarawak yang semakin lenyap akibat peredaran zaman dan semakin tidak dikenali.

Etnik ini juga sama seperti beberapa etnik lain seperti etnik Bakong, etnik Lahanan, etnik Sihan, etnik Kejaman, etnik Lakiput, etnik Saban, etnik Tagal dan beberapa etnik lain yang semakin mengecil bilangannya.

Namun begitu etnik Narum ini masih lagi wujud dengan kebanyakan mereka sekarang menduduki sebuah perkampungan iaitu di Kampung Narum Marudi.

Menurut cerita Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Narum, asalnya etnik Narum ini adalah daripada pecahan suku kaum Kenyah dari Ulu Baram yang telah berpindah ke hilir Sungai Baram sehinggalah ke Sungai Bakong.

Pada awal abad ke-15, etnik Narum juga dikenali sebagai Orang Ulu semasa pemerintahan Kesultanan Brunei di Borneo.

Pada masa itu etnik Narum ini diketuai seorang pembesar bernama Seleng Udeng dan mereka  mula memeluk agama Islam semasa pemerintahan Kesultanan Brunei ini.

Selepas menganut agama Islam, ketua mereka Seleng Udeng telah dianugerahkan gelaran Orang Kaya Panglima Baling oleh Kesultanan Brunei kerana jasa beliau dan pengikut-pengikutnya  yang banyak membantu Kerajaan Brunei ketika itu.

Dipercayai pada masa itu etnik Narum menetap di sebuah perkampungan di Sungai Melalut berhampiran dengan Sungai Arang di Sungai Bakong.

Di sinilah juga Orang Kaya Panglima Baling meninggal dunia dan beliau dikebumikan di atas bukit di tebing sungai Temiang yang terletak di antara Sungai Arang dan Sungai Melalut.

Ini terbukti dengan penemuan kubur Orang Kaya Panglima Baling di atas bukit tersebut dan diakui oleh masyarakat Iban di Sungai Arang bahawa masih ada kesan peninggalan tapak rumah panjang milik etnik Narum yang terdahulu sebelum mereka  berpindah keluar ke Marudi.

Difahamkan bahawa etnik Narum merupakan etnik Narum Islam pertama yang menduduki kawasan pekan Marudi sebelum berpindah ke Kampung Narum sehingga sekarang.

Terdapat  beberapa kubur lama etnik Narum di tebing Sungai Hilir Kampung Narum yang masih lagi dapat dilawati sehingga sekarang dan  kewujudannya dipercayai berusia ratusan tahun.

Setelah pengunduran pemerintahan Kerajaan Brunei dan Borneo diserahkan kepada kerajaan British, etnik Narum ini mula tenggelam kerana pada masa itu setiap penduduk pribumi Sarawak yang bergama Islam dikenali sebagai kaum Melayu Sarawak.

 Ini sedikit sebanyak telah menggelamkan identiti asal etnik Narum sebagai Orang Ulu  dari segi kehidupan dan budayanya.

Setelah menduduki Kampung Narum, corak kehidupan etnik Narum ini telah berubah lebih kepada corak kehidupan kaum Melayu Sarawak disebabkan percampuran dan pergaulan.

Cuma yang masih kekal sehingga sekarang ialah bahasa etnik Narum sahaja yang masih dipertuturkan segelintir penduduk di Kampung Narum sehinggalah sekarang.

Loghat etnik Narum hampir sama dengan dialek Lakiput dan Jati Miriek sehingga kini jumlah penduduk etnik Narum yang masih menetap di Kampung Narum Marudi sekitar 2,000 orang.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh beberapa penduduk kampung Narum itu sendiri untuk mengetengahkan etnik Narum dan membuktikan kewujudannya supaya diketahui umum khususnya penduduk Marudi dan kaum-kaum lain di Sarawak.

Penduduk Kampung Narum sangat mengharapkan pihak kerajaan dapat membantu penduduk Kampung Narum yang terdiri dari asal etnik Narum dan membantu mempromosi dan mengiktiraf beberapa bukti kewujudan etnik Narum seperti Kubur Orang Kaya Panglima Baling dan tapak asal rumah panjang milik Narum di Sungai Melalut.

Bagi penduduk Kampung Narum,  kubur Orang Kaya Panglima Baling adalah satu sejarah yang amat besar maknanya dan Orang Kaya Panglima Baling adalah lambang kebanggaan etnik Narum yang pernah menerima gelaran “Lipan Merah” oleh Kesultanan Brunei suatu ketika dahulu.

Oleh JIKU JUGUONG