Doa untuk KRI Nanggala 402

PENGHORMATAN TERAKHIR… Keluarga kru kapal selam KRI Nanggala 402 menabur kalungan bunga di lokasi kapal tersebut tenggelam tempoh hari. • Foto AFP

JAKARTA: Anggota keluarga kru kapal selam Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI) KRI Nanggala 402, kelmarin memberikan penghormatan terakhir dengan menabur kalungan bunga dan berdoa di lokasi kapal itu tenggelam.

Anggota keluarga kepada 53 kru kapal berkenaan dibawa menggunakan kapal TNI, dr. Soeharso (SHS)-990 dari Pelabuhan Ketapang Banyuwangi ke perairan Bali, di lokasi kapal malang itu tenggelam pada kedalaman 838 meter.

TNI dalam satu kenyataan berkata upacara berkenaan dipimpin Ketua Staf Angkatan Laut TNI, Laksamana TNI Yudo Margono.

Kapal TNI dr. Soeharso itu turut diiringi lima kapal TNI yang lain semasa upacara berkenaan, serta  MT. Swift Rescue dari Singapura dan MV. Mega Bakti milik Tentera Laut Diraja Malaysia yang turut membantu dalam operasi pencarian sebelum ini.

Pada 25 April, Panglima TNI Hadi Tjahjanto mengumumkan KRI Nanggala-402 tenggelam dan semua kru terkorban, selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April.-Bernama