Aksi Mat Yo dipuji

CERIA… Pemain Sarawak United meraikan jaringan yang dilakukan oleh Norshahrul pada minit ke-85. • Foto IHSAN MEDIA SUFC

SENTUHAN penyudah penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang meledakkan jaringan bagi menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 1-0 malam semalam, amat melegakan jurulatihnya, E Elavarasan.

Katanya, walaupun turun tanpa kelibat penjaring terbanyak Sarawak United FC (SUFC), Uche Agba namun ia tidak menghalang penyerang kebangsaan itu membuktikan keupayaannnya untuk mereka mengutip mata maksimum di laman sendiri.

Sentuhan jaringan yang dilakukan oleh pemain itu pada minit ke-85 perlawanan membuktikan Norshahrul atau Mat Yo tetap digeruni dengan memiliki bisa pemusnah bagi menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 sekali gus meletakkan skuad itu di tangga teratas liga.

Bagi Elavarasan, pemain berpengalaman itu bertindak bijak setiap kali memiliki ruang meski ditekan hebat oleh barisan pertahanan lawan.

“Situasi berkenaan menyebabkan pemain kami hanya melakukan serangan balas pantas dengan mengatur strategi sesuai bagi memerangkap lawan yang kerap menyerang.

“Hasilnya barisan pertahanan kami bertindak cemerlang menutup ruang untuk lawan meledak jaringan dan gol tunggal diperoleh pada lima minit sebelum tamat juga atas usaha tersusun bagi memisahkan kedudukan yang seakan-akan terikat tanpa jaringan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut berakhir malam semalam.

Elavarasan berkata, keputusan berkenaan amat melegakan mereka, namun tiada yang selesa buat SUFC kerana kedudukan carta akan sentiasa berubah kerana jurang mata yang tipis.

Beliau turut menyeru anak-anak buahnya kekal fokus dan konsisten bagi meraih kemenangan selepas menumpaskan JDT II semalam untuk memastikan pasukan itu kekal menerajui puncak Liga Premier hingga tamat saingan.

Pengendali berusia 56 tahun itu berkata, dengan pusingan kedua Liga Premier yang akan dihadapi selepas ini, kutipan tiga mata amat penting untuk mereka menjarakkan kedudukan sekali gus menempah slot ke saingan Liga Super musim hadapan.

Beliau berkata, biarpun dilihat masih terlalu awal untuk memasang angan-angan namun tetap mahu anak didiknya terus bekerja keras demi merealisasikan impian melayakkan diri dalam saingan tertinggi bola sepak tempatan selepas sekian lama tercicir sebelum ini.

Oleh ADI SAFARMAN