Warga SMK Simanggang agih bubur lambuk

SELAMAT BERPUASA…Warga guru menyerahkan bungkusan bubur lambuk kepada kakitangan perubatan.

SIMANGGANG: Warga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang khasnya mereka yang beragama Islam nyata tidak mahu ketinggalan untuk menyerikan lagi sambutan bulan Ramadan al-Mubarak pada tahun ini.

Ia terbukti apabila pihak sekolah berkenaan baru-baru ini mengadakan Program Bubur Lambuk yang mendapat kerjasama Biro Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman.

Program yang berlangsung di kantin sekolah tersebut telah bermula dari jam 9.00 pagi dengan sejumlah 600 bekas bubur lambuk berjaya dihasilkan menerusi aktiviti berkenaan.

“Walaupun negara masih berdepan dengan ancaman Covid-19 namun ia sama sekali tidak dapat menghalang warga guru untuk mengadakan program ini di kantin sekolah.

“Paling penting sekali adalah patuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak berlaku kes penularan Covid-19 dalam program itu,” kata Penolong Pegawai Pendidikan, Unit Pendidikan Islam PPD Sri Aman, Ustaz Syaifullah Ismail.

Beliau ketika hadir pada program berkenaan memberitahu kesemua bubur lambuk itu akan diagih kepada para warga guru, pasukan petugas barisan hadapan  dan rumah ibadat Islam sekitar kawasan bandar ini.

Antara pasukan barisan hadapan yang menerima agihan bubur lambuk itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan hospital.

“Rumah ibadat Islam di sini yang menerima agihan juadah itu adalah Masjid Bandar Sri Aman, Masjid Lama Kampung Tengah, Surau Kampung Hilir dan Surau Kampung Hulu.

“Syabas diucapkan kepada SMK Simanggang kerana berjaya mengadakan program ini demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga pendidik, orang awam dan pasukan barisan hadapan di sini sepanjang sambutan bulan Ramadan al-Mubarak,” kata Ustaz Syaifullah.

Terdahulu Program Bubur Lambuk yang berlangsung sehingga jam 1.30 tengah hari di kantin sekolah berkenaan turut diserikan lagi dengan penglibatan pengetua sekolah berkenaan iaitu Ramlee Bee.

Oleh VALENTINE NGUMBANG