Dua projek RTP siap dilaksana

TURUN PADANG… Datuk Francis Harden Hollis dan rombongan ketika meninjau hasil peraksanaan Projek RTP DUN Simanggang di Kampung Sebangkoi, Undop Sri Aman.

SIMANGGANG:  Dua projek di bawah Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang telah siap dilaksana oleh Kerajaan Sarawak di kwawasan berkenaan.

Dua projek RTP berkenaan ialah bina baharu Jalan Komuniti menuju Kampung Sebangkoi, Undop dan naik taraf pagar di kawasan luar Gereja Methodist, Jalan Paya dalam bandar ini.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pelaksanaan kedua-dua projek RTP tersebut telah menelan kos keseluruhan sebanyak RM480,000.

“Projek RTP DUN Simanggang di Kampung Sebangkoi, Undop telah melibatkan pembinaan Jalan Komuniti sepanjang 1.9 kilometer (km)  yang menelan kos sebanyak RM250,000.

“Ia telah pun siap dilaksana dengan 800 meter daripada jumlah panjang jalan berkenaan merupakan jalan simen manakala selebihnya iaitu 1.1 km lagi adalah jalan batu kuari,” jelas beliau.

Sementara itu, katanya bagi kerja menaik taraf pagar Gereja Methodist, telah diperuntukkan sebanyak RM230,000 dalam projek RTP berkenaan.

Menurut beliau, kerja pembinaan pagar sudah siap dengan kerja terakhir kini hanya melibatkan kerja memasang semula paip yang terjejas berhubung perlaksanaan projek tersebut.

“Justeru saya berharap agar pelaksanaan projek RTP ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat di kawasan Sebangkoi Undop dan Jalan Paya sejajar dengan kehendak Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi tujuan itu.

“Teruskan kesetiaan anda bersama Kerajaan GPS agar lebih banyak projek RTP dilaksana di kawasan kita dari masa ke semasa,” kata ADUN Simanggang itu.

Terdahulu Harden baru-baru ini telah pun mempelawa agensi pelaksana bagi memantau hasil pelaksanaan Projek RTP DUN Simanggang di kedua-dua lokasi berkenaan.

Turut hadir wakil agensi pelaksana dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman iaitu Michelle Kristie Felix, Norasyimah Entasan dan Federick Jonathan Isau.

Oleh VALENTINE NGUMBANG