KDN komited kekuatan PDRM dipertingkat

BEKAS Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman semalam.•Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited dalam memastikan kekuatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertingkat dari semasa ke semasa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata selain itu, KDN juga akan terus memberikan kerjasama khususnya dalam menjaga kebajikan anggota serta pegawai PDRM selain memastikan peranan serta fungsi pasukan itu kekal relevan.

“Sesuai dengan pelantikan di- terajui Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara, kerajaan percaya nama baik PDRM dapat dipertingkatkan ke peringkat lebih tinggi selain berhasil menentukan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara terpelihara,” katanya.

Hamzah berkata demikian dalam teks ucapan beliau yang dibacakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Negara di Mes Pegawai Bukit Aman di sini semalam.

Pada majlis itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyerahkan tugas dan Tongkat Kuasa Ketua Polis Ne- gara kepada timbalan beliau Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Pelantikan Acryl Sani berkuat kuasa hari ini.

Hamzah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Abdul Hamid atas sumbangan serta khidmat bakti dicurahkan kepada masyarakat dan negara sepanjang berkhidmat dalam PDRM dan menerajui pasukan Sang Saka Biru itu.

“Demi kepentingan warga PDRM seluruhnya, saya percaya legasi pemimpin terdahulu dapat diteruskan di samping memberi suntikan nafas baharu agar pasukan ini kekal ampuh sebagai pasukan disegani dan dihormati,” kata- nya.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika berucap selepas penyerahan tugas itu menyeru semua warga PDRM agar melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan intergriti dan yakin Acryl Sani mampu memacu PDRM dengan lebih cemer- lang.

“Insya-Allah dengan pengalaman dan ilmu beliau (Acryl Sani) peroleh sepanjang berkhidmat dalam pasukan, mampu memikul amanah ini dengan cemerlang sekali gus memacu PDRM mengharungi apa jua cabaran yang mendatang,” kata nya.

Abdul Hamid berkata, menyedari akan hakikat cabaran jenayah masa kini berada dalam dimensi yang kompleks, beliau berharap PDRM terus mendapat perhatian kerajaan khususnya daripada sudut keperluan aset-aset baharu selain diberi pertimbangan untuk penambahan kekuatan sumber manusia.

“Walapun saya bakal kembali ke dunia persaraan, perjuangan bersama PDRM akan diteruskan dengan cara saya sen- diri.

“Selagi nyawa dikandung badan, darah perjuangan Sang Saka Biru yang telah sebati dalam diri akan terus mengalir dalam tubuh hingga terhentinya nafas ini,” katanya.-Bernama