Indahnya memberi dan berkongsi rezeki

SIMON LO (tengah) bersama tiga pelajar dari Buso yang menerima bantuan daripada pihaknya.

Dalam rezeki kita, ada sedikit rezeki orang lain.  Justeru, apabila kita dikurniakan rezeki, jangan lupa kongsikan sedikit dengan orang lain yang memerlukan.

Mungkin inilah yang menjadi pegangan hidup mantan Sub Inspektor Simon Lo Kok Hua apabila tidak jemu-jemu menyantuni orang susah.  Malah aktiviti berkongsi rezeki bersama golongan yang memerlukan ini sudah menjadi kelaziman hidup beliau.

Lo bersara pada bulan Ogos 2020 tetapi beliau tidak menjadikan masa bersara itu terbuang sia-sia dengan hanya duduk diam sahaja di rumah. Sebaliknya beliau melaksanakan beberapa projek untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Menyingkap pengalaman kerjayanya, jawatan terakhir Lo di dalam pasukan polis adalah di Jabatan Siasatan Jenayah, Daerah Kuching dan salah satu bidang tugas jabatan ini adalah  membantu menyelesaikan kes-kes jenayah besar.

Beliau juga ditugaskan ke beberapa sekolah rendah dan menengah sebagai Pegawai Perhubungan.  Sebagai Pegawai Perhubungan,  tanggungjawab beliau adalah untuk memberi ceramah pencegahan jenayah di sekitar kawasan Kuching dan Bau dan dari aktiviti seperti inilah  beliau mendapat tahu ramai pelajar yang serba kekurangan serta memerlukan bantuan.

Dari semasa ke semasa, Lo akan membantu apabila diberitahu tentang para pelajar yang kurang bernasib baik. Setiap hujung tahun, beliau dan rakan-rakan dari Persatuan Buddhist Meditation Kuching akan mengumpul derma dan menyumbang keperluaan sekolah serta keperluan lain untuk membantu para pelajar ini.

Selepas bersara, Lo terus berhubung dengan para pemimpin masyarakat setempat dan guru-guru yang pernah beliau ditemui semasa memberi ceramah di sekolah-sekolah sebelum ini.  Dari situ, beliau mendapat maklumat tentang keperluan para pelajar di kawasan-kawasan tertentu.

Dengan sokongan dan bantuan ahli-ahli  pasukan beliau, mereka akan membeli pelbagai  keperluan dan makanan seperti makanan dalam tin, makanan berpaket, minyak masak atau makanan kering dan sebagainya.

Terbaharu,  Lo telah pergi ke Buso selepas mendapat yahu tiga keluarga di kawasan itu  menghadapi kesukaran hidup.  Seperti biasa, Lo dan pasukan beliau akan menghulurkan bantuan seadanya demi meringankan beban keluarga ini.

Bercerita lebih lanjut tentang tiga keluarga ini, Lo berkata, di dalam keluarga Lee terdapat dua beradik yang bersekolah di Tahun 1 dan Tahun 6 yang dijaga oleh ibu yang berstatus ibu tunggal.  Mereka juga mempunyai seorang adik yang kurang upaya.

Ayah mereka meninggal dunia akibat kanser beberapa tahun lalu dan si ibu ini terpaksa bekerja sebagai pekerja rencam dengan pendapatan rendah.

Di dalam keluarga Liew pula, si ayah yang berusia dalam lingkungan 50-an mengalami kecederaan baru-baru ini.  Beliau tidak mampu melakukan tugas-tugas berat dan disebabkan Covid-19, tidak  ada pekerjaan yang dapat dilakukan.

Mempunyai anak dalam lingkungan empat tahun dan ibu yang sudah tua, keluarga ini memang mengharapkan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sementara itu, keluarga  ketiga yang mereka bantu adalah keluarga yang mempunyai ramai anak.  Malangnya, si ayah juga terlibat di dalam kemalangan dan tidak mampu bekerja.

Oleh CONNIE CHIENG