30 pemain bawa cabaran SUFC III

SATU majlis ringkas menandatangani kontrak pengurusan SUFC III telah diadakan di Miri semalam sambil disaksikan Timbalan Presiden FAS Mohamad Saif Jubaidi.

SKUAD Sarawak United lll (SUFC III) telah dibentuk bagi menghadapi saingan Piala Belia 2021 yang akan menyingkap tirai pada 3 Jun nanti.

Pengurus Pasukan, Nazri Ahmad Lai memberitahu seramai 30 pemain telah disenarai pendek bagi menyarung jersi Piala Belia SUFC lll musim ini.

Katanya senarai 30 pemain berkenaan telah dimuktamadkan selepas mengharungi selama empat bulan lebih pemilihan pemain yang telah bermula sejak Januari lalu.

“Sesi pemilihan pemain telah diadakan di Miri sejak Januari lalu, dan kita telah menyenarai pendek dan mengenal pasti 30 pemain berbakat untuk membentuk Skuad Piala Belia SUFC lll bagi musim 2021,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Nazri berkata SUFC III membariskan seramai 15 pemain senior dan 15 pemain muda lepasan sekolah yang akan menggalas tanggungjawab dalam memperbaiki kedudukan lebih baik dalam pertandingan itu kelak.

“Saya yakin dengan gandingan dua jurulatih berpengalaman iaitu Pengiran Bala dan Mohd Hakimi Man, skuad belia kali ini lebih mantap dari segi persediaan mental dan fizikal serta gandingan pemain-pemain senior dan baharu,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) yang telah menjadi rakan strategik dalam pembentukan Skuad Piala Belia SUFC III dan pembangunan bola sepak di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Sarawak (FAS), Mohamad Saif Jubaidi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak FAS semalam telah menyaksikan perlantikan ketua jurulatih skuad belia musim ini iaitu Pengiran Bala dan dibantu oleh Mohamad Hakimi Man sebagai penolong ketua jurulatih.

Skuad SUFC III turut dibimbing oleh jurulatih kecergasan, Abu Bakar Amran dan dibantu oleh Fadillah Ibrahim, Saller Ampuling (jurulatih penjaga gol) dan dibantu oleg Ishya Sabu (penolong jurulatih penjaga gol).

Manakala, Lukanisman Awang Sauni dilantik sebagai Penaung, Nazri Ahmad Lai sebagai Pengurus pasukan dan Ariffin Mohamad sebagai penolong pengurus SUFC IIl.

Terdahulu, satu majlis ringkas menandatangani kontrak pengurusan SUFC III telah diadakan di Miri semalam, sambil disaksikan sendiri Timbalan Presiden FAS Mohamad Saif Jubaidi.

Dalam pada itu, SUFC III diundi dalam Kumpulan C (Tengah) membabitkan Terengganu FC IV, Sabah FC IV, PJ City FC, Kuching City FC dan Selangor FC.

Oleh ADI SAFARMAN