Penduduk Semop terima cenderamata Aidilfitri daripada Abdullah

TERIMA KASIH… Abdullah Saidol menyerahkan sumbangan cenderamata Aidilfitri kepada penerima di Dewan Masyarakat Kampung Semop.

SEMOP: Sebanyak 2,800 set cenderamata Aidilfitri disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Semop, Abdullah Saidol kepada penduduk di 12 buah kampung di Pulau Bruit dan lapan kampung lain dalam kawasan DUN Semop.

Sumbangan cenderamata akan diedar dan diuruskan melalui kerjasama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting dan Saberkas setiap kampung tersebut.

Semalam, Abdullah hadir di majlis ringkas simbolik penyerahan cenderamata Aidilfitri di Program Jelajah Ramadan bertempat di Masjid Kampung Bruit, Pulau Bruit dan Dewan Masyarakat Kampung Semop.

Program Jelajah Ramadan ini telah dijalankan bermula sejak tiga hari lalu.

Setiap satu set cenderamata yang disumbangkan oleh Abdullah mengandungi pelbagai kuih-muih.

Sumbangan cenderamata Aidilfitri oleh ADUN Semop ini adalah sebagai tanda ingatan beliau kepada penduduk Islam dalam kawasan DUN Semop yang akan menyambut bulan Syawal dan Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan sederhana kerana masih lagi dalam suasana perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketika dihubungi Utusan Sarawak, Abdullah yang juga merupakan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, seperti tahun lepas dimana beberapa program Hari Raya Aidilfitri yang sering diadakan seperti Majlis Ramah Tamah tidak dapat dianjurkan tahun ini bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan, maka beliau ingin menyampaikan Salam Aidilfitri beliau kepada penduduk melalui sumbangan cenderamata ini.

Semasa lawatan kerja ini juga, Abdullah turut menyampaikan sumbangan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada sebuah sekolah dan empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Antara penerima peruntukan tersebut ialah JKKK Kampung Masjid, Tekajong sebanyak RM 15,000 bagi tujuan membaik pulih Pusat Pentadbiran dan Gerakan JKKK.

Jumlah keseluruhan peruntukan MRP yang disalurkan dalam lawatan kerja ini ialah sebanyak RM20,680.

Sebagai tanda perhargaan kepada guru-guru yang mengajar Muqadam dan Al-Quran di 12 kampung di Pulau Bruit, Abdullah menyampai sedikit saguhati berjumlah keseluruhan sebanyak RM19,200 kepada 111 guru termasuk yang telah bersara.

Di setiap kampung yang disinggahi, Abdullah turut memberi pesanan kepada pemimpin kampung supaya mempastikan warga kampung berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Beliau juga meminta semua untuk sentiasa berwaspada terhadap ancaman virus Covid-19 yang masih di tahap serius.

Majlis yang diadakan di setiap persinggahan beliau dijalankan secara ringkas, terkawal, kehadiran yang terhad dan berkenaan sahaja.

Pada 6 Mei lalu, Abdullah turut hadir di majlis yang serupa di Kampung Melayu Bintangor yang melibatkan tujuh buah kampung dan penyerahan 527 set cenderamata.