Penduduk disaran bekerjasama bangunkan Sabah

DATUK Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Seluruh penduduk Sabah disaran mengambil semangat Pesta Kaamatan dengan berkerjasama tanpa mengira latar belakang mereka bagi memajukan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, Pesta Kaamatan disambut secara tradisi sejak bergenerasi lamanya, antara lain bagi menyatukan rakyat negeri ini seterusnya memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Katanya ikatan perpaduan yang dipupuk itu telah memberikan pelbagai manfaat buat penduduk Sabah terutama dalam memberikan keamanan dan kehidupan harmoni, justeru semangat yang sama harus dipupuk dalam usaha memajukan negeri.

“Ketika kita meraikan Pesta Kaamatan marilah kita ingatkan diri bertapa pentingnya perayaan itu untuk kita mensyukuri semua nikmat diterima, dengan mengambil semangat perayaan ini, marilah kita kukuhkan perpaduan, keamanan di negeri ini dan terus hidup bersatu padu aman serta damai.

“Tingkatkan kerjasama jangan jadikan perbezaan penghalang majukan negeri kita seterusnya memberi manfaat secara keseluruhan… kotobian tadau tagazo do Kaamatan (selamat menyambut Pesta Kaamatan),” katanya kepada Bernama.

Hajiji berkata, sambutan Pesta Kaamatan tahun ini agak mencabar dengan penularan pandemik Covid-19, justeru tiada sambutan secara besar-besaran diadakan dan hanya diraikan bersama keluarga masing-masing dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pesta Kaamatan bermula 1 Mei lepas hingga 31 Mei ini merupakan sambutan tradisi tahunan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus, diadakan bagi menghormati semangat padi, dan pelbagai acara diadakan sepanjang bulan sambutan berkenaan, antaranya pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau dan tarian Sumazau.

Pada 1 Mei lepas, Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Jeffrey Kitingan melancarkan sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan secara dalam talian tahun ini bertemakan ‘Kaamatan Aiso Wolit Montok Piompunan om Pibabasan’ atau Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Pendamaian dan Keamanan. — Bernama