Sijun sabar menunggu tuaian gaharu

MENCUBA… Sijun Jumpot berusaha dan mencuba menanam pokok gaharu dengan harapan ia memberikan pulangan yang lumayan

Pokok gaharu atau nama saintifiknya, Aquilaria malaccensis merupakan sejenis tanaman yang hidup dalam hutan hujan tropika dan mempunyai pelbagai manfaat yang mampu mendatangkan pulangan yang lumayan kepada pengusaha tanaman tersebut.

Meskipun tidak menyertai kursus penanaman gaharu berikutan dengan kurang informasi, ia tidak memtikan hasrat seorang rakyat tempatan Sarawak untuk mencuba menanam pokok gaharu dengan harapan mampu menjadi pengusaha tanaman tersebut yang berjaya. Sijun Jumpot, 55, seorang penduduk tempatan yang berasal dari Nanga Bangkit Entabai mengakui idea bagi menanam pokok gaharu tersebut timbul apabila beliau dimaklumkan oleh pelbagai suku kaum di pedalaman bahawa tumbuhan tersebut mempunyai pelbagai manfaat dan mampu memberikan pulangan yang lumayan setelah ia dewasa.

CERITA DI SEBALIK PENANAMAN POKOK GAHARU
Sijun mengakui bahawa usaha dalam menanam pokok gaharu tersebut telah dimulakan sejak tahun 2010, yakni 11 tahun yang lalu.
“Saya memperoleh anak pokok gaharu apabila saya bekerja di bahagian pedalaman di Lawas dan ia selalunya tumbuh di bahagian kaki bukit.
“Setelah saya melihat masyarakat orang Ulu ramai yang berminat untuk menanam gaharu dan saya dimaklumkan bahawa ia mempunyai banyak manfaat dan mampu memberikan pulangan yang lumayan setelah ia dewasa, saya mencuba nasib untuk menanamnya,” maklum beliau.

CABARAN YANG DIHADAPI
Sijun mengakui bahawa proses untuk mengusahakan tanaman tersebut bukan proses yang mudah dan pelbagai cabaran dilaluinya.
“Antara cabaran yang dihadapi untuk memulakan proses penanaman ini ialah masalah pengangkutan kerana untuk membawa ia dari kawasan pedalaman Lawas ke Julau memerlukan masa yang lama melalui tiga jenis pengangkutan iaitu melalui udara, darat dan air.
“Anak-anak pokok tersebut dibawa dari Lawas ke Miri menggunakan kapal terbang. Setibanya di Miri, ia dibawa ke Sarikei dan seterusnya ke Nanga Entaih, Julau menggunakan jalan darat.
“Akhirnya, ia dibawa menggunakan jalan air dari Nanga Entaih ke rumah panjang. Oleh itu, banyak pokok yang mati sebelum tiba di destinasi kerana tempoh perjalanan yang panjang.
“Selain itu, saya yang sekadar mencuba nasib ini tidak pernah mengikuti mana-mana kursus bagi menanam pokok gaharu kerana belum pernah mendengar maklumat mengenai kursus tersebut.
“Maka, pokok-pokok gaharu yang saya tanam, ia hanya tumbuh seperti sediakala akan tetapi tidak pernah didapatkan hasilnya,” luah beliau yang masih bersemangat untuk mengusahakan tanaman tersebut.

HARAPAN
Meskipun kurang info mengenai tanaman tersebut termasuk cara-cara menjaganya dan memperoleh hasil daripada pokok gaharu yang telah dewasa, Sijun menaruh harapan yang besar agar usaha beliau tidak sia-sia.
“Saya berharap pihak yang bertanggungjawab mampu mengadakan kursus penanaman dan penjagaan pokok gaharu kerana saya percaya masih ramai yang belum mengetahui manfaat tanaman tersebut.
“Selain itu, saya juga berharap usaha saya akan membuahkan hasil suatu hari nanti dan mampu meneruskan usaha ini sehingga mendapatkan pulangan yang lumayan,” jelas beliau ketika ditemui Utusan Sarawak.

Oleh RYNNA SHA’ERRA