SUFC tidak terburu-buru ganti pemain import

KETUA jurulatih Sarawak United FC (SUFC), E Elavarasan menegaskan tidak akan terburu-buru menggantikan pemain import baharu dalam jendela perpindahan kedua Liga Premier yang bermula 3 Mei lalu.

“Pada masa ini kita belum membuat sebarang keputusan lagi, namun situasi jendela kedua perpindahan pemain ini macam-macam boleh berlaku, tapi saya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan kerana tugas saya adalah untuk melatih pasukan.

“Lagipun jika kita buat pertukaran sudah tentu akan mengecewakan pemain, tapi dengan pasukan kini berada di kedudukan teratas liga, kita akan meneliti sedalam-dalamnya selain mendengar pendapat pihak pengurusan.

“Lebih-lebih lagi tempoh perpindahan pemain masih panjang dengan berbaki 20 hari lagi sehingga 31 Mei ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kelantan United FC di di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam semalam.

Elavarasan berkata prestasi semasa pasukannya yang kini berada pada tahap terbaik terutama dengan memimpin carta Liga Premier, beliau membayangkan tidak akan melakukan rombakan kecuali jika kecederaan pemain tengah kelahiran Brazil, Sandro Da Silva berpanjangan.

“Namun ianya juga bergantung kepada kecederaan Sandro yang sudah tiga perlawanan tidak beraksi, tapi saya jangkakan dia sempat pulih dalam tempoh liga berehat,” ujarnya.

Dalam aksi perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Premier 2021 di di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, SUFC terpaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan 3-2 menumpaskan KUFC.

Dengan kemenangan itu skuad kendalian Elavarasan kembali merampas kedudukan teratas liga daripada Negeri Sembilan FC.