PKP 12 MEI – 7 JUN SELURUH NEGARA

PERMIT… Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar (dua, kanan) melihat surat perjalanan pemandu dan penumpang kenderaan ketika turut serta dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Tanjung Lumpur semalam.• Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula Rabu ini hingga 7 Jun sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP itu selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikannya di Putrajaya semalam. 

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

“Kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan lebih drastik bagi mengelak negara terjerumus dalam malapetaka kesihatan lebih parah,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, Muhyiddin berkata antara larangan dan arahan yang perlu dipatuhi termasuk tiada ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang minggu ini. 

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh membuatkan lebih 1,000 jemaah manakala hanya 20 orang bagi masjid dan surau yang berkapasiti kurang daripada 1,000 jemaah.

“Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat,” katanya.  

Perdana Menteri berkata operasi rumah ibadah bukan Islam juga akan diperketatkan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenainya akan ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan Negara. 

Selain itu, Muhyiddin berkata, majikan diwajibkan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

Bagi sektor awam, penentuan BDR adalah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa.