70 peratus telah berdaftar

BERJALAN LANCAR… Program suntikan vaksin Covid-19 di PPV Stadium Tertutup Sibu berjalan lancar semalam.

SIBU: Pendaftaran penerima vaksin Covid-19 di Sibu menunjukkan jumlah yang tinggi dengan hampir 70 peratus secara keseluruhannya penduduk telah mendaftar.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, Dr Annuar Rapaee berkata, pendaftaran penerima suntikan vaksin dilakukan dengan dua cara iaitu manual dan MySejahtera.

“Sekarang ini sedang dalam proses untuk memindahkan dari manual ke MySejahtera, itu yang memakan masa sedikit,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Sibu, semalam.

Dr. Annuar yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan berkata, lebih daripada 800 orang warga emas akan menerima suntikan vaksin dos kedua Covid-19 pada semalam.

“Semua yang hadir pada hari ini adalah mereka yang telah diberikan dos pertama pada 19 April lepas. Mereka adalah penerima suntikan kumpulan pertama untuk masyarakat umum di Sibu, pada hari Jumaat lepas kumpulan kedua.

“Mungkin pada 18 Mei nanti kita ada satu lagi kumpulan penerima suntikan vaksin, jadual belum dikeluarkan,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berpuas hati kerana program suntikan vaksin dos kedua di PPV Stadium Tertutup Sibu berjalan lancar hari ini.

“Hari ini kita bersyukur kerana keadaannya teratur, kita bahagi penerima mengikut zon masa. Siapa yang temu janji 9.00 pagi kita letak di satu khemah, 10.00 pagi satu khemah dan 11.00 pagi satu khemah, mereka tidak bercampur.

“Mereka yang datang pada hari ini mengikut jadual masa yang tepat. Tidak seperti hari Jumaat lepas semua datang satu kali,” ujarnya lagi.

Beliau memberitahu, seramai 157 penerima vaksin yang telah diberi temujanji didapati tidak ke PPV Stadium Tertutup Sibu pada Jumaat lepas.

“Ada juga mereka yang hadir tapi ditolak kerana mempunyai tekanan darah yang tinggi. Dan hanya ada seorang yang tidak mahu menerima vaksin Sinovac, itu adalah senario pada hari Jumaat lepas.

“Hari ini tidak ada yang tidak mahu, hari ini kita memberikan Pfizer-BioNTech disebabkan ia dos kedua,” katanya.

Beliau menyeru kepada penduduk Sibu supaya datang mengikut masa yang telah ditetapkan ke PPV Stadium Tertutup Sibu.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam, Dr. Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi memberitahu bahawa pihaknya telah bersetuju menambah 13 khemah, 860 kerusi dan 30 kerusi roda.

Oleh AKUN GIMAN