Jangan kerja bermusim – Rubiah Wang

PENGHARGAAN… Rubiah Wang menerima cenderamata daripada Bahren Samat (kanan).

ASAJAYA: Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Sebandi Matang digesa agar tidak bekerja pada musim tertentu seperti pilihan raya sahaja.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, pemimpin di peringkat akar umbi harus memberikan komitmen yang diperlukan oleh masyarakat.

“Saya ingin mengingatkat orang ramai khususnya jentera parti agar tidak bekerja pada musim tertentu seperti pilihan raya kerana khidmat dan komitmen mereka diperlukan secara berterusan oleh masyarakat.

“Banyak usaha pembangunan sedang dilaksanakan di Asajaya khususnya menaik taraf kemudahan sedia ada seperti jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik menerusi pelan tindakan yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

“Oleh itu, penglibatan pemimpin peringkat akar umbi dalam memantau serta mengikuti perkembangan terkini pembangunan di kawasan masing-masing supaya matlamat dan tujuan projek pembangunan di kawasan tersebut dapat dicapai dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa ziarah Ramadan di Kampung Sebandi Matang, Asajaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Kaum Sebandi Matang, Bahren Samat dan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Sebandi Matang, Jaafar Paee.

Terdahulu, Rubiah melancarkan pengagihan bubur lambuk dan bubur pedas kepada sekitar 1,000 penduduk di Kampung Sebandi Matang dan sekitarnya.

Oleh JEAKQLEYN YACHO