PERTINGKATKAN KERJASAMA

LAWATAN KERJA… Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang ketika mengadakan lawatan kerja singkat ke Hospital Medan ATM Kapit di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, semalam.

KAPIT: Kerjasama antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dipertingkatkan dalam menghadapi gelombang peringkat ketiga penularan pandemik Covid-19.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang berkata, ia merupakan komitmen ATM dalam tugas-tugas sekunder bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Kemudahan logistik semasa dalam membawa bantuan perubatan dan peralatan kesihatan juga akan diteruskan dengan menggunakan aset ATM mengikut keperluan, terutamanya penghantaran udara yang melibatkan pesawat TUDM.

“Penubuhan hospital medan di lokasi-lokasi lain juga adalah tertakluk kepada keperluan semasa dan kemampuan sedia ada yang dapat disediakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM,” jelasnya menerusi siaran akhbar semasa mengadakan lawatan kerja singkat ke Hospital Medan ATM Kapit di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, semalam.

Dalam situasi Covid-19 terkini, beliau mengharapkan agar setiap lapisan masyarakat memberikan kerjasama dan mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan bagi memastikan rantaian pandemik Covid-19 dapat diputuskan demi kesejahteraan semua.

“Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD) telah mengatur gerak petugas dan kelengkapan Hospital Medan ATM ke Kapit pada 6 Mei 21 lalu. Hospital ini adalah hospital kedua seumpamanya didirikan selepas kejayaan mengoperasikan konsep hospital yang sama di Tawau, Sabah,” ujarnya.

Katanya, melalui aturgerak pasukan Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Hospital Kapit, hospital medan tersebut berperanan menyediakan rawatan kepada pesakit selain kes – kes Covid-19.

“Hospital berkapasiti 40 buah katil ini turut dilengkapi dengan kemudahan wad, farmasi, x-ray dan bilik rawatan kecemasan.

“Melalui kemudahan yang disediakan ini, ia akan membolehkan Hospital Kapit memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kes Covid-19 di samping mempunyai kapasiti katil yang mencukupi bagi pesakit wabak berkenaan dan kes yang lebih serius,” ujarnya lagi.

Oleh AKUN GIMAN