Utusan Sarawak akhbar perjuangan

DR SUFFIAN MANSOR

MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa akhbar bernama Utusan Sarawak ini dahulunya ialah sebuah akhbar perjuangan.

Kita tidak banyak didedahkan dengan peranan surat khabar ini dalam perjuangan melawan penjajah dan membela penduduk bumiputera.  Penelitian sejarah menunjukkan bahawa Utusan Sarawak mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah Sarawak.

Akhbar ini telah muncul dan diterbitkan pada zaman Sarawak diserahkan kepada British.  Kumpulan yang menentang penyerahan ini telah berusaha untuk menyampaikan perjuangannya melalui mata pena.

Utusan Asas

Atas sebab itu menerusi usaha Angkatan Semangat Anak Sarawak (ASAS) diterbitkan Utusan Asas pada tahun 1949.  Atas sebab-sebab tertentu dan untuk mengelak daripada menyentuh aktiviti pergerakan ASAS maka penerbitan akhbar ini dihentikan pada Ogos 1948.

Selepas itu, pada 16 Januari 1949, ASAS telah menerbitkan akhbar baharu iaitu Utusan Sarawak.  Akhbar ini telah diterbitkan oleh Abang Ikhwan Zainie yang mewakili Arif Press Co.  Harga jualan akhbar ini pada awalnya ialah 10 sen senaskah.  Manakala kandungan halamannya hanya empat halaman.  Kemudian ditambah kepada enam halaman pada tahun 1957.  Namun, kembali kepada empat halaman selepas itu.

Akhbar ini mempunyai beberapa ruangan khas seperti rencana, berita, surat kiriman, iklan dan maklumat tayangan gambar serta ruang sajak.  Manakala berita yang dikeluarkannya pula tidak terikat semata-mata pada berita-berita tentang Sarawak, tetapi meluas kepada berita-berita luar negara seperti kejatuhan kerajaan Kuomintang di China pada tahun 1949, Perang Korea (1950-1953) dan krisis Terusan Suez pada tahun 1956.

Penentangan British

 Pada peringkat awalnya, akhbar ini muncul di tengah-tengah penentangan terhadap penyerahan Sarawak kepada British.  Akhbar ini banyak membicarakan tentang isu ini dan mengkritik pihak British yang mengambil Sarawak sebagai koloni.  Menerusi ruang Kritik, pihak British dianggap berpura-pura ingin menghapuskan imperialisme kerana tidak menghormati ikrar awal mereka menerusi Piagam Atlantik (1941) untuk membebaskan tanah jajahannya.  Perjuangan antipenyerahan, menurut akhbar ini, cuba mengembalikan status asal Sarawak daripada dijajah oleh kuasa British.

Dasar British di Sarawak juga dikritik kerana memecahbelahkan penduduk Sarawak dengan melarang kaum Cina berpolitik dan mengapi-apikan sentimen kaum Dayak melawan orang Melayu selepas pembunuhan Gabenor Duncan Stewart.  Beberapa surat pembaca juga disiarkan dalam akhbar ini. 

Surat pembaca ini banyak yang mengecam tindakan British mengambil Sarawak sebagai koloni dan kecaman kepada pembesar Melayu yang memberikan sokongan kepada penyerahan Sarawak.  Salah satu surat kecaman terhadap British ini disuarakan oleh penulis dengan nama pena Drahman yang menyatakan British sebagai bertopengkan demokrasi kerana merampas hak rakyat Sarawak.

Pedoman Ra’ayat

Kelantangan Utusan Sarawak yang menentang penyerahan Sarawak ini menyebabkan kerajaan British menerbitkan akhbar kerajaan, iaitu Pedoman  Ra’ayat.  Akhbar kerajaan ini cuba mematahkan hujah-hujah Utusan Sarawak dalam isu penyerahan.  Namun demikian, hujah-hujah daripada Pedoman Ra’ayat mampu dipatah oleh Utusan Sarawak dengan baik. Pedoman Ra’ayat cuba mempertahankan penyerahan Sarawak kepada British sebagai satu langkah baik. 

Akhbar ini mengumpamakan Sarawak selepas Perang Dunia Kedua sebagai jam yang rosak dan British akan membaikinya. Namun demikian, Utusan Sarawak mempersoalkan punca kegagalan British mempertahankan Sarawak apabila diserang oleh Jepun pada tahun 1941.

Walaupun Utusan Sarawak memberi sokongan kepada golongan antipenyerahan, tetapi mereka tetap menghantar ucapan simpati dan takziah kepada keluarga Duncan Stewart atas kematian Gabaenor tersebut.  Ucapan takziah dari persatuan antipenyerahan seperti Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dan ASAS juga disiarkan oleh akhbar ini.

Bela nasib bumiputera

Pada tahun 1950-an, perjuangan Utusan Sarawak mula berubah daripada antipenyerahan kepada pembelaan nasib penduduk Bumiputera yang tinggal di bandar.  Kehidupan penduduk Bumiputera ketika itu digambarkan sebagai susah dengan kenaikan harga barang.  Beberapa syor telah dikeluarkan oleh Utusan Sarawak untuk membaiki taraf penduduk tempatan.  

Saranan ini juga disuarakan oleh beberapa tulisan surat kiriman.  Mereka menyarankan agar penduduk Sarawak bercucuk tanam dan berternak untuk mengatasi kehidupan sukar pada ketika itu.  Beberapa sajak kiriman juga disiarkan untuk memberi semangat penduduk Bumiputera untuk mengerjakan tanah mereka, dan tidak lalai dalam pekerjaan seharian mereka. 

Bagi orang Melayu yang berniaga, Utusan Sarawak berpendapat bahawa usaha orang Melayu perlu dipertingkatkan dari hanya di takuk lama dalam perniagaan skala kecil.   Utusan Sarawak menyarankan agar sikap buruk mereka harus dikikis dan meniru kejayaan orang Cina.  Sikap suka makan gaji dalam kalangan orang Melayu juga dikritik oleh Utusan Sarawak kerana orang Melayu tidak mempunyai cita-cita tinggi untuk menambah pendapat mereka dan hanya hidup ala kadar. 

Sikap suka membazir dalam adat kematian dan kenduri juga dikritik oleh akhbar ini.  Oleh sebab itu, Utusan Sarawak meminta agar adat yang tidak menguntungkan harus dibuang.  Sikap tidak ingin berubah ini menyebabkan orang Melayu ketinggalan, dan hilang zaman kegemilangan mereka dalam bidang perkapalan, pertukangan emas, tembaga dan besi. 

Sikap orang Melayu dalam bidang pendidikan juga dikritik kerana anak-anak Melayu banyak ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak minat belajar dan suka bermain.  Dalam hal ini, dasar kerajaan British juga dikritik kerana tidak mempunyai dasar kukuh untuk kemajuan dalam pendidikan penduduk Bumiputera Sarawak. 

Persekutuan Borneo

Menyentuh mengenai usaha kerajaan Britsih memberi taraf pekerajaan sendiri bagi penduduk Sarawak, Utusan Sarawak juga memberi reaksi positif.  Utusan Sarawak memberi sokongan kepada penyatuan Sarawak, Brunei dan Sabah dalam Persekutuan Borneo.  Namun, rancangan ini gagal dilaksanakan kerana Brunei tidak bersetuju mengenai perkongsian hasil minyaknya.

Utusan Sarawak juga menyokong penubuhan parti politik yang membela nasib penduduk Bumiputera.  Atas sebab itu, penubuhan Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) tidak mendapat sokongan Utusan Sarawak kerana dilihat tidak membela nasib penduduk Bumiputera.  Sebaliknya, penubuhan Parti Negara Sarawak (PANAS) mendapat sokongan Utusan Sarawak kerana penekanan dalam pembelaan nasib penduduk bumiputera.  Oleh sebab itu, penubuhan PANAS dan aktiviti parti tersebut mendapat liputan oleh Utusan Sarawak. 

Manakala penubuhan Barisan Rakyat Jelata Sarawak (BARJASA) pula menimbul rasa kecewa Utusan Sarawak kerana telah memecahkan sokongan orang Melayu.  Namun, usaha untuk merapatkan dua parti pimpinan Melayu dilakukan dengan menyiar juga berita BARJASA dalam Utusan Sarawak.

1971

Apabila rancangan Malaysia diumumkan, Utusan Sarawak memainkan peranan penting memberi sokongan kepada rancangan tersebut.  Hal ini dikatakan demikian kerana rancangan Malaysia mampu meyelesaikan masalah keselamatan di Sarawak, terutamanya kegiatan komunis di Sarawak.  Utusan Sarawak juga mengkritik pihak yang tidak menyokong rancangan Malaysia sebagai tidak meneliti dan mengkaji kebaikan rancangan tersebut.

Sokongan Utusan Sarawak ini berterusan kepada rancangan Malaysia, walaupun PANAS telah keluar daripada pakatan parti yang pro-Malaysia.  Selepas pembentukan Malaysia, Utusan Sarawak cuba memulihkan hubungan PANAS dengan kerajaan negeri Sarawak. 

Perjuangan akhbar ini sepanjang awal penubuhannya adalah untuk melihat Sarawak dalam keadaan bebas, aman, makmur dan sejahtera sehingga penerbitannya tamat pada tahun 1971.  Namun, akhbar ini dihidupkan semula pada tahun-tahun 1990-an dan menjadi akhbar berbahasa Melayu berpengaruh di Sarawak pada hari ini.