Polis rampas dadah bernilai RM4.2 juta

DIRAMPAS… Datuk Abdul Majid Mohd Ali menunjukkan bahagian tempat duduk belakang dan but kereta yang diubah suai sindiket dadah untuk menyembunyikan bahan terlarang itu pada sidang akhbar semalam. • Foto BERNAMA

MELAKA: Satu sindiket dadah yang menggunakan surat kebenaran palsu untuk bergerak melepasi sekatan jalan raya di negara ini, lumpuh selepas polis menangkap empat individu termasuk seorang ahli kimia, serta merampas 10.4 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM4.2 juta, dalam dua serbuan minggu lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kesemua suspek berusia 33 hingga 50 tahun terbabit ditahan dalam serbuan di Melaka dan Johor pada 12 dan 13 Mei lalu menerusi Op Passat 2 yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. 

“Tangkapan pertama pada kira-kira 5.30 petang 12 Mei lalu melibatkan dua lelaki tempatan yang menaiki kereta Volkswagen Passat dalam perjalanan ke Tanjung Kling, Melaka.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan dadah terbabit yang disembunyikan di antara tempat duduk belakang dan but kereta yang diubah suai,” katanya, pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata, suspek dipercayai cuba membawa dadah berkenaan melalui jalan laut di Tanjung Kling.

“Tangkapan kedua pula melibatkan pasangan kekasih warga tempatan dan lelaki berkenaan merupakan ahli kimia berusia 40 tahun. Mereka ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Muar, Johor kira-kira 6.24 pagi keesokan hari,” katanya.

Abdul Majid berkata, dalam serbuan kedua itu, polis turut merampas tiga kenderaan jenis Perodua Myvi, barang kemas dan wang tunai pelbagai negara bernilai kira-kira RM117,116.08.

Katanya kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sejak Khamis (13 Mei) lepas dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.  — Bernama