Kempen Derma Darah Tahunan Pustaka Miri

Meskipun fungsi utama Pustaka Negeri Sarawak, Miri adalah sebagai pusat informasi atau perpustakaan sejak pembukaannya penghujung 2002, ia turut menganjurkan pelbagai aktiviti yang memenuhi tanggungjawab sosial masyarakat setempat.

Salah satu aktiviti atau program yang sering diadakan adalah Kempen Derma Darah yang dianjurkan bersama Tabung Darah Hospital Miri. Terkini, ia diadakan pada 15 Mei 2021 bertempat di lobi Pustaka Miri.

Menurut jurucakap Pustaka Miri, Pegawai Tadbir Suria Sonia Ahip Abdullah, kempen seumpamanya telah bermula sejak tahun 2003.

“Kami kerap bekerjasama dengan organisasi lain dalam penganjuran kempen-kempen sebegini dan kali ini, ia dianjur bersama Kesatuan Guru Sarawak Cawangan Miri,” jelas beliau ketika ditemui semasa kempen berlangsung, “tujuan kami mengadakan aktiviti ini adalah bagi membantu pihak hospital memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi tertama semasa musim perayaan.”

Salah seorang penderma semasa kempen tersebut adalah Pustakawan Pustaka Miri Lilian Baun Pulo yang telah menderma untuk kali ke-enam.

“Kali pertama saya menderma darah adalah semasa saya masih menuntut di institusi pengajian tinggi” jelas beliau, “menderma darah ini dapat membantu mereka yang memerlukan terutama dalam pandemik COVID-19 ini. Saya akan terus menderma di masa akan datang, selagi kesihatan mengizinkan.”

Seorang lagi penderma darah yang ditemui adalah Presscilla Susanti Sulau yang berdarah AB+. Beliau menyatakan beliau merasa teruja dan seronok kerana dapat menderma darah kali ini.

“Ini adalah kali kedua saya berjaya menderma darah. Kali pertama adalah semasa saya berada di Kelantan,” kata beliau, “saya membuat keputusan untuk menjadi seorang penderma darah adalah kerana saya ingin membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.”

Bagi penderma darah baharu Jessica Ruran pula, beliau tidak percaya yang beliau dapat menderma darah setelah melalui proses saringan.

“Ini adalah kali pertama saya mencuba dan dengan sokongan kawan-kawan, saya berjaya menderma darah,” ujar Jessica, “meskipun saya ada merasa sedikit pening selepas menderma, ia tidak akan menghalang saya daripada untuk menderma darah lagi kelak.”

Merasa pening atau ringan kepala adalah salah satu kesan sampingan selepas menderma darah. Oleh itu, pihak Tabung Darah sentiasa menasihati para penderma darah untuk berehat dan tidak melakukan sebarang kerja berat selepas pendermaan.

Seramai lebih 30 orang telah hadir ke kempen anjuran Pustaka Miri tersebut dan 21 orang telah berjaya menderma darah setelah melalui proses saringan.

Penderma yang berjaya turut menerima cenderamata serta jamuan ringan sebagai tanda penghargaan.

Pihak Tabung Darah Hospital Miri menyeru supaya penderma darah dan mereka yang baharu ingin menderma untuk hadir ke kempenzkempen bergerak yang mereka adakan semasa hujung minggu atau terus ke Tabung Darah Hospital Miri pada hari bekerja. Ia akan memastikan bekalan darah mencukupi bagi kegunaan pesakit bukan sahaja di Miri tetapi di luar kawasan Miri juga.

Oleh Sofie Sofian