Pekebun kecil sambut baik Ops Timbang Sawit 2021

“MPOB turut menyasarkan empat lagi pelaksanaan operasi bersepadu di Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.”-Dr Ahmad Parveez

KUALA LUMPUR: Operasi Bersepadu – Ops Timbang Sawit 2021 yang dilaksanakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) disambut baik oleh pekebun kecil kerana dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap industri sawit.

Operasi tersebut dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaksanakan di seluruh negara bagi membanteras kegiatan manipulasi timbangan buah kelapa sawit dalam kalangan peniaga dan pengilang sawit.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez berkata, hasil daripada operasi bersepadu tersebut, sebanyak 56 tindakan penguatkuasaan telah dikenakan ke atas pemegang lesen MPOB bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

“Bagi membendung kegiatan tidak sihat dalam industri sawit termasuk penipuan timbang buah kelapa sawit, semua pihak khususnya pekebun kecil yang mempunyai maklumat disarankan untuk melaporkan kepada MPOB untuk siasatan dan tindakan mengikut peraturan pelesenan MPOB,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, MPOB turut menyasarkan empat lagi pelaksanaan operasi bersepadu di negeri Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Pada Mac, operasi bersepadu telah dijalankan di Perak dengan memeriksa sembilan premis diikuti Sabah (sembilan) dan Sarawak (24).

Pada April, operasi bersepadu telah dilaksanakan di Pahang (Rompin) dengan memeriksa lapan premis dan Selangor (13).- Bernama