India berdepan amaran taufan baharu

SEBUAH helikopter yang membawa pekerja kapal minyak dan gas yang terkandas selepas Taufan Tauktae yang melanda di Laut Arab.

AHMEDABAD: Ribut kuat bakal muncul di Teluk Bengal yang terletak di pantai timur India, ujar para peramal memberi amaran hanya beberapa hari selepas taufan terbesar yang melanda barat negara itu dalam beberapa dekad menyebabkan sekitar 110 orang terkorban.

Para saintis mengatakan taufan di wilayah berpenduduk padat itu menjadi lebih kerap dan kuat kerana perubahan iklim menyebabkan suhu laut lebih panas.

Bahkan sebelum Taufan Tauktae membadai pantai pada lewat Isnin lalu dan membawa hujan lebat dan angin kencang telah membunuh sekitar 20 orang di barat dan selatan India.

Para pegawai berkata, angin kuat menumbangkan puluhan ribu pokok dan mematikan bekalan elektrik dan menyebabkan jumlah penduduk terkorban meningkat kepada 53 orang di Gujarat pada Rabu lalu.

Pada masa sama, jumlah korban boleh meningkat lebih jauh dengan surat khabar tempatan mengatakan hampir 80 orang maut yang kebanyakannya terbunuh akibat rumah atau tembok yang runtuh

Kira-kira 200,000 orang dipindahkan sebelum taufan tiba dan tidak ada masalah serius yang dilaporkan di hospital yang menempatkan pesakit Covid-19.

Taufan semakin lemah ketika bergerak ke timur laut, menurunkan hujan lebat di Allahabad dan New Delhi yang dilaporkan mengalami hujan lebat dan paling sejuk pada Mei dalam tempoh 70 tahun.

Ribut itu juga melumpuhkan industri minyak di luar pesisir dengan ombak setinggi lapan meter, menyebabkan satu pelantar minyak tenggelam dan beberapa kapal sokongan dengan sekitar 700 orang di dalamnya.

Sekitar 600 diselamatkan oleh tentera laut tetapi 38 masih hilang dari kapal penginapan.

Sehingga kini, seramai 37 mayat ditemui dan pesawat dan helikopter tentera laut melakukan operasi mencari dan menyelamat di Laut Arab untuk mencari mangsa.

Ketua jurutera kapal, Rahman Shaikh memberitahu Indian Express dari hospital bahawa kapten dan syarikat itu gagal mengambil amaran angin taufan dengan cukup serius.

“Kami mempunyai lubang besar. Air mulai masuk. Kami mencuba menggunakan rakit di tepi pelabuhan tetapi hanya dua yang dapat dilancarkan dan 14 yang lain gagal.

“Saya membayangkan kematian menanti tetapi diselamatkan oleh rahmat Allah,” katanya kepada surat kabar itu.

“Kami bernasib baik kerana masih hidup,” kata seorang anak kapal setelah dia turun dari kapal tentera laut di Mumbai pada Rabu lalu.

“Kami berpaut di tepi tongkang dan untungnya jaket keselamatan membantu kami ketika air mengalir di atas kepala kami,” tambahnya.

Dalam amaran terbaharunya, Jabatan Meteorologi India mengatakan bahawa ribut taufan sedang melanda negeri timur Bengal barat dan Odisha pada sekitar 26 Mei ini.

Menurut para saintis, taufan pada April dan Mei sebelum musim tengkujuh menjadi lebih biasa.

Pada Mei tahun lalu, lebih daripada 110 orang maut setelah Taufan Super Amphan merosakkan India timur dan Bangladesh yang memusnahkan kampung, ladang dan meninggalkan jutaan orang tanpa elektrik. -AFP