MENGAPRESIASI KHAZANAH WARISAN

MUZIUM Sarawak

WARISAN adalah sesuatu serlahan rakaman berkaitan sejarah, budaya, alam semula jadi dan nilai-nilai sesebuah masyarakat.

   Ia mengkapsulkan roh dan semangat sesebuah negara atau negeri, atau masyarkat serta menyemat jati diri dan kedaulatannya.

   Warisan adalah sumber kebanggaan kita dan merupakan aset yang menjadi daya tarikan bagi orang luar yang sanggup membayar untuk menyaksi dan menikmati nilai estetika di sebalik kewujudannya. Dalam konteks pelancongan warisan berupaya memberi sumber pendapatan.

   Warisan sebenarnya merupakan fenomena yang agak tidak kukuh, justeru memerlukan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan.

   Sarawak, seperti juga tempat-tempat lain di muka bumi ini, memiliki warisan sendiri.

   Malahan, warisan kita, identity kita, dan kebanggaan kita, kaya bukan sekadar pada sumber asli semula jadi malahan juga kaya dengan sejarah dan budayanya.

Perundangan warisan komprehensif

   Atas kesedaran itulah Rang Undang-undangan Warisan Sarawak 2019 yang baharu telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 5 November 2019, bertujuan untuk memelihara dan memulihara warisan Sarawak secara komprehensif..

   Di bawah perundangan yang diperbaharui itu skop warisan diperluaskan serta memperuntukkan kerangka yang jelas dalam pemeliharaan warisan seperti mewujudkan Majlis Warisan Sarawak, dan juga mewujudkan Dana Amanah bagi membantu pemilik sesuatu warisan bangunan atau monumen bersejarah atau tapak melalui bantuan kewangan.

   Kini, ada juga warisan bawah perairan berkaitan pengendalian barang-barang yang tenggelam di bawah perairan yang boleh dilabelkan sebagai warisan di perut laut, mahupun di bawah danau atau logan, atau di perut sungai.

   Khazanah warisan sedemikian tidak boleh diambil sembarangan dan di bawah akta yang relevan perbuatan mengambilnya dikira perlakuan mencuri.

   Selain itu juga perundangan membela penjagaan dan perlindungan kearifan tempatan, termasuk pengiktirafan ekspresi kebudayaan tradisional masyarakat yang ada di Sarawak demi mengelak kepupusan, kerana pengekalan kepelbagai budaya amat relevan serta melindung dan memulihkan  warisan yang fragil untuk meletakkan Sarawak mendepani globalisasi.

Sokongan awam

   Walaupun kehendak politik (political will) dikatakan penting, pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah warisan perlu dilengkapi dengan sokongan awam.

   Penyebaran maklumat untuk mewujudkan kesedaran dan apresiasi awam amat dituntut untuk menjurus ke arah usaha yang lebih genting.

   Usaha dan kerjasama setiap warganegara secara peribadinya amat penting, dan usaha secara kumulatif amat bermakna dalam usaha melindungi warisan kita.

Aneka bentuk khazanah warisan

   Khazanah warisan kita, sama ada dalam bentuk pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan-bangunan lama seperti pejabat, masjid, kuil, gereja, menara, kubu, rumah kampung yang berakitektur unik, ataupun artifak-artifak dari pelbagai timbunan yang ditemui melalui arkeologi, memiliki unsur-unsur sejarah dan kesenian tersendiri yang menarik sekali.

   Khazanah warisan alam semula jadi seperti Gua Mulu di Taman Negara Mulu, atau Gua Niah, Gunung Kinabalu – kesemuanya menyimpan seribu satu rahasia yang indah dan menarik dari aspek biodiversitinya, flora dan faunanya, serta latar sejarah yang estetik sekali.

   Begitu juga dengan warisan anyaman, tenunan, pakaian, serta peralatan pelbagai guna seperti keris, pisau, parang, manik, mahupun peralatan permainan seperti layang-layang, atau peralatan yang digunakan untuk pertanian, penternakan dan perikanan pasti menyerlahi aneka budaya, aneka latar cerita serta aneka bentuk dan saiz yang berupaya menjadi rujukan yang berguna untuk kajian sosiologi.

Penutup

   Fabrik kampung, bandar dan bandar raya bersejarah memiliki khazanah warisan yang tak terperikan dengan nilai ekonominya. Ini semua perlu difaktorkan dalam perancangan pembangunan bandar.

   Imbangan antara perubahan dan pemuliharaan dan antara saingan dengan tekanan-tekanan yang kontradiktori berkemungkinan berlaku, seperti yang boleh kita lihat di serata dunia.