Penanaman padi moden

RANUM… Seorang pesawah padi meninjau padi yang sudah masak ketika berlangsung musim menuai padi di Bijat dan Gran/Stumbin, Sri Aman.

KOPERASI Pertanian Sri Aman Berhad atau dikenali sebagai KPSAB kini sedang mentransformasikan aktiviti penanaman padi dalam sekitar kawasan Bijat dan Gran/Stumbin di Sri Aman.

Ia terbukti apabila koperasi tersebut mahu melaksana projek perintis penanaman padi moden bagi musim 2021/2022 bertempat di Blok L4-2 dalam kawasan ‘Bijat Land District’ di sini pada tahun ini.

Sambil dibantu selia oleh pihak pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, projek ‘pilot’ ini akan melibatkan kerja membersihkan kawasan, membajak dan pengairan.

Ia juga akan melibatkan kerja perparitan dan penuaian dengan bahan-bahan penting seperti baja, racun rumpai dan racun serangga turut disediakan bagi menjayakan projek perintis berkenaan.

“Projek Perintis Penanaman Padi Moden di Blok L4-2 dalam kawasan Bijat Land District ini dianggar menelan kos sebanyak RM50,000 dan telah diluluskan oleh pihak Jabatan Pertanian pada 21 April lepas.

“Sekiranya berjaya maka tapak projek perintis ini nanti menjadi contoh cara penanaman padi moden di kawasan Bijat khasnya dan Daerah Sri Aman amnya,” kata Setiausaha KPSAB, Kiben Jaya.

Beliau turut menambah bahawa pengenalan projek perintis ini nanti akan dapat menarik perhatian para pesawah di Bijat dan Gran/Stumbin untuk beralih kepada kaedah penanaman padi moden berbanding kaedah tradisional.

“Perlaksanaan projek perintis berkenaan dilihat bersesuaian dengan visi pihak kami iaitu KPSAB selaku nadi penggerak aktiviti penanaman padi moden di kawasan Batang Lupar, Sri Aman.

“Justeru diharap agar projek perintis ini nanti akan memberi laluan kepada semua pesawah padi di Bijat dan Gran/Stumbin untuk mula menanam padi secara moden dengan lebih produktif pada masa akan datang,” kata beliau.

Terdahulu KPSAB telah didaftar pada 17 Oktober 2019 sebelum koperasi berkenaan bertindak berdaftar dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad atau ANGKASA pada 1 Disember 2020.

Peranan KPSAB lebih tertumpu kepada aktiviti dalam sektor pertanian bermula dari kawasan Tanjung Bijat dan bercadang mahu memperluas rangkaian ke kawasan Banting, Lingga, Gran Stumbin dan Entulang.

Selain mahu melaksana projek perintis penanaman padi moden, koperasi berkenaan juga telah menawarkan perkhidmatan menuai padi untuk para pesawah padi di situ semenjak dua tahun lepas.

Perkhidmatan tersebut melibatkan penggunaan dua jentera menuai padi yang dipinjamkan oleh pihak IADA kepada KPSAB dan mendapat sambutan amat memberangsakan daripada pesawah padi di situ.

Ia terbukti apabila perkhidmatan itu diguna oleh para pesawah sebanyak 396 bagi musim menuai padi tahun 2019/2020 dan 234 kali menjelang Mac lepas bagi musim tahun 2020/2021.

“Kami menyeru para pesawah di Bijat dan Gran/Stumbin agar beralih kepada cara moden pada musim menuai padi akan datang demi menjimatkan kos dan tenaga masing-masing,” kata Kiben.

Oleh VALENTINE NGUMBANG