Ketirisan wang beri implikasi besar

KUALA LUMPUR: Ketirisan wang memberi implikasi besar kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya di tengah-tengah pandemik Covid-19 yang sedang melanda sekarang.

Pensyarah Kanan (Perakaunan dan Kewangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Noorul Azwin Md Nasir berkata, ketirisan wang ini melibatkan isu kecurian wang staf dalaman berpunca daripada pelbagai faktor seperti tidak ada pengetahuan atau ilmu pengurusan kewangan yang sistematik.

Justeru, katanya, adalah penting setiap transaksi wang dalam perniagaan mempunyai rekod serta dokumentasi bagi memastikan punca pendapatan dan perbelanjaan yang dibuat oleh perniagaan diketahui dengan jelas.

“Sekiranya, wang pendapatan dan perbelanjaan tidak berjaya dijejaki, maka inilah yang dipanggil sebagai ketirisan wang dalam perniagaan.

“Ketirisan wang boleh dikaitkan dengan pembaziran dan boleh membawa kepada isu penyelewengan wang,” kata Noorul Azwin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketirisan wang yang berlaku dalam jangka masa panjang boleh menghalang sesebuah perniagaan untuk berkembang akibat penggunaan wang yang tidak efisyen.

Beliau berkata, isu pembasmian ketirisan wang perniagaan menjadi tanggungjawab kepada semua individu dalam organisasi.

“Pemilik perniagaan memegang tanggungjawab terbesar untuk menyemai dan memastikan budaya dan kualiti kerja yang baik demi kelangsungan perniagaannya,” jelasnya.

Namun, jika isu merekod transaksi perniagaan tidak ditekankan kepada semua yang terlibat, ia boleh membuatkan staf sendiri tidak peka dengan risiko serta kesilapan yang sedang berlaku, katanya. – Bernama