PKPB malapkan ‘malam tujuh likur’ Sibu

MENARIK… Pelita minyak tanah memeriahkan malam tujuh likur

TRADISI malam tujuh likur di penghujung Ramadan amat dinanti-nantikan demi untuk memeriahkan lagi suasana.

Malam tujuh likur disambut meriah dengan cahaya pelita. Lazimnya, pelita atau panjut menerangi kawasan perumahan, termasuk ada idea kreatif menghasilkan pintu gerbang.

Budaya memasang lampu atau pelita amat meriah, apabila Ramadan mula mendekati Syawal, akan bermulalah pesta malam tujuh likur yang merujuk kepada tradisi memasang pelita atau panjut.

Biasanya ramai yang memilih pelita minyak tanah tin yang setia berkhidmat bertahun-tahun lamanya. Ada juga yang rajin membuat pelita minyak tanah sendiri daripada buluh. 

Tahun beredar, ramai yang membeli pelita minyak tanah daripada plastik yang beraneka warna. 

Tidak kira apa jenis pelita atau panjut yang dipilih, suasana malam di kawasan yang memasang pelita minyak tanah ini memang berbeza. 

Ia umpama membawa semangat raya yang membuatkan sesiapa saja rasa teruja khususnya kanak-kanak.

Bagi orang dewasa, cahaya dari deretan pelita memudahkan perjalanan mereka ke rumah, kerana ramai yang pulang lewat dari masjid pada 10 malam terakhir Ramadan untuk meluangkan lebih banyak masa beribadat di rumah Allah.

Apabila menjelang hari berkenaan pastinya kebanyakan penduduk terutama di kampung akan mula mencari buluh bagi memasang panjut.

Ketika malam ini jugalah menandakan persiapan raya dilakukan, manakala bagi anak kecil, pastinya sibuk bermain bunga api dan mercun. 

Bagaimanapun tahun ini, di Sibu tradisi tersebut disambut dalam suasana yang sederhana berikutan Kerajaan Sarawak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Di Kampung Bahagia Jaya, Teku, tradisi tersebut disambut lebih meriah sedikit, berbanding di Kampung Nangka, Kampung Hilir dan Kampung Datu.

Penduduk di kedua-dua kampung tersebut menyambut tradisi tersebut dengan sederhana, berbanding dua tahun yang lalu.

Penduduk akur kerana pelaksanaan PKPB adalah sebagai usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Oleh AKUN GIMAN