Teruja kembali beraksi

PEMAIN Chonbori FC Junior Eldstal, gembira untuk kembali menyertai Harimau Malaya, selepas hampir lima tahun tidak menyarung jersi pasukan kebangsaan sejak 2016.

Pemain kelahiran Malaysia-Sweden mengakui, yang beliau amat gembira kerana berpeluang bermain dan berharap dapat menikmatinya dalam kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Hampir lima tahun saya tidak bermain bersama pasukan kebangsaan. Ia satu perasaan yang bagus untuk kembali.

“Tempoh hari jurulatih Tan Chen Hoe beri saya bercakap di hadapan pemain, untuk berikan motivasi kepada mereka bagaimana saya berjaya kembali selepas berehat dua tahun, dan dapat bermain untuk kejohanan kelayakan ini, yang merupakan satu saat yang istimewa untuk saya,” katanya dalam sidang media secara maya semalam.

Kali terakhir Junior yang pernah alami kecederaan ‘slip-disk’ bermain untuk pasukan kebangsaan ialah pada Jun 2016, ketika Harimau Malaya seri 1-1 ketika bertemu Fiji dalam perlawanan persahabatan.

Bekas pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, beliau telah lihat banyak perubahan dan cara diambil dalam pasukan Harimau Malaya masa kini, berbanding ketika bermain dahulu, dan memuji kemahiran pengurusan Cheng Hoe dan hubungan baik sama ada di atas dan di luar padang.

“Sebelum ini beliau (Cheng Hoe) cuma penolong jurulatih kepada bekas jurulatih Datuk K. Rajagobal. Saya tidak pernah ikuti kepimpinan beliau sebelum ini, dan saya dapat lihat yang Cheng Hoe suka kepada permainan menyerang,” katanya.

Pemain berusia 29 tahun ini berkata, Cheng Hoe sering mengingatkan pemain untuk tidak takut dengan pasukan lain, dan tidak hanya menunggu tetapi cuba menyerang, terutamanya pada pertemuan persahabatan menentang Bahrain, dan perlawanan kelayakan ini.

Sementara itu, pemain tengah yang juga boleh bermain di pertahanan berkata, terpulang kepada jurulatih untuk menyenaraikan beliau dalam kesebelasan utama, bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mohd Shahrul Mohd Saad yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut, dan Brendan Gan yang digantung dalam perlawanan menentang UAE.

Sementara itu, Junior memberitahu yang beliau suka meluangkan masa dengan pemain muda seperti Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) dan Arif Aiman Mohd Hanapi dari JDT, dan berkongsi petuanya terutamanya skil kepimpinan bagi membantu kedua mereka untuk cemerlang di masa hadapan.

“Saya selalu duduk dengan Luqman dan Arif Aiman ketika makan tengah hari dan makan malam, dan memberitahu mereka mengenai kepimpinan dan cara yang betul untuk menjaga tubuh mereka,” katanya.

Malaysia akan menentang Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bahrain dai Riffa pada Jumaat, sebelum bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) bagi menamatkan perlawanan Kumpulan G untuk kejohanan kelayakan itu.-Bernama