29,445 ujian saringan dijalankan

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

KUCHING: Sebanyak 29,445 ujian saringan telah dijalankan di Pusat Sehenti Covid-19 Bahagian Kuching sejak pengoperasiannya bermula 3 Mei lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menunjukkan bahawa pembukaan pusat tersebut sangat berguna khususnya bagi orang awam yang perlu mendapatkan ujian saringan.

“Jumlah tersebut menunjukkan bahawa pusat ini adalah berguna untuk rakyat dan sangat diperlukan kerana ia memudahkan orang awam untuk mendapatkan ujian calitan.

“Pusat ini merupakan tempat yang mana kita menempatkan semua agensi yang relevan seperti Pejabat Kesihatan Bahagian, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Residen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jawatankuasa Bencana Bahagian, pasukan pengesanan kontak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sekiranya ada yang perlu dikuarantin di rumah, Kerajaan Sarawak bersetuju mereka disediakan dengan bekalan makanan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke pusat tersebut, kelmarin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menambah, semua bahagian di Sarawak telah dimaklumkan untuk mengambil dan mengikut inisiatif yang telah dilakukan itu.

Dalam pada itu, beliau turut merayu supaya rakyat untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Sekarang ini Sarawak sedang melaksanakan PKP, jadi kita mahu setiap rakyat untuk duduk di rumah.

“Saya merayu kepada semua orang untuk duduk di rumah semasa tempoh pelaksanaan PKP kerana ini bukan untuk menyusahkan anda tetapi untuk menyelamatkan nyawa,” ujarnya. 

Justeru, katanya, sila patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan terus duduk di rumah semaksimum mungkin kerana jika kita dapat mengelakkan berkumpul, mengelakkan perjumpaan yang tidak perlu dan sebagainya maka rantaian wabak ini dapat diputuskan.