947 keluarga terima bantuan makanan

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam membantu dalam proses pengagihan makanan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan yang dikenakan PKPD.

KOTA SAMARAHAN: Seramai kira-kira 4,800 penduduk dari 947 buah keluarga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan bekalan makanan sumbangan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, pengagihan bantuan bekalan makanan ini dilsakanakan  pada minggu kedua selepas PKPD dikuatkuasakan di kawasan berkenaan pada minggu lalu.

Menurutnya, pengagihan bantuan bekalan berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Samarahan serta Angkatan Pertahanan Awam Daerah Samarahan dan turut dibantu oleh beberapa petugas-petugas sukarelawan.

“Pada ketika ini kita berhadapan dengan tempoh yang begitu sukar kerana pelaksanaan beberapa lagi PKPD di Daerah Samarahan iaitu yang pertamanya di Kampung Tanjung Bundong, yang keduanya di Kampung Sindang dan yang yang terkini kita menerima makluman bahawa Kampung Stakan Melayu juga akan dikenakan PKPD bermula tengah malam ini.

“Hal ini menyebabkan kita terpaksa membahagikan fokus kerana terdapat tiga kawasan yang dikuatkuasakan PKPD dalam minggu yang sama di Samarahan yang memerlukan bantuan dan keperluan-keperluan lain yang perlu kita penuhi.” katanya semalam.

Rubiah turut memaklumkan bahawa para petugas barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam, Bomba dan Penyelamat serta petugas-petugas kesihatan sedang memaksimakan tenaga mereka dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Saya berasa bimbang kerana tahap penggunaan sumber manusia kini berada di kemuncaknya.

“Justeru, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya kekal berada di rumah masing-masing dengan melaksanakan ‘Self-Lockdown’ serta mematuhi arahan dan juga garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh PKP,” ujarnya.

Terdahulu  Rubiah Wang juga telah menyumbangkan set kanopi, meja dan juga kerusi bagi mendirikan sekatan jalan raya di Samarahan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan PKP dilaksanakan.

Oleh Jeakqleyn Yacho