Pengedar LPG Sarawak dikecualikan mohon Lesen

Pengedar Gas Petroleum Cecair (LPG) Sarawak dikecuali mohon lesen bagi pengedaran LPG mulai pada 1 Jun.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan pengecualian kepada pengedar-pengedar Gas Petroleum Cecair (LPG) di Sarawak untuk memohon kebenaran dan lesen bagi pengedaran LPG mulai pada 1 Jun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Khas bagi menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada 13 April lalu.

“Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Noor serta menteri-menteri persekutuan,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Menurut Alexander, mesyuarat bersetuju supaya pengecualian diberikan kepada pemegang-pemegang Lesen Pengedaran Gas Ordinan (DGO) yang dikeluarkan Kerajaan Sarawak menerusi keperluan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA).

Katanya, menerusi pengecualian itu, pemborong dan peruncit LPG di Sarawak hanya memerlukan lesen DGO sahaja daripada Kementerian Utiliti Sarawak dan tidak lagi perlu memohon kebenaran di bawah PDA dan lesen CSA daripada KPDNHEP.

“KPDNHEP sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah dalam usaha merancakkan aktiviti perdagangan domestik bagi meningkatkan ekonomi di kedua-dua negeri itu,” tambah beliau.

KPDNHEP ditubuhkan pada 27 Oktober 1990 bertujuan menggalakkan pembangunan perdagangan dalam negeri yang berdaya maju, berdaya saing, dan berdaya mampan, khususnya di dalam sektor perdagangan pengedaran di Malaysia.

Selain itu, KPDNHEP turut komited melindungi kepentingan dan hak-hak pengguna termasuk membangunkan ekosistem pengguna dan peniaga ke arah kawalan sendiri, seiring dengan aspirasi ke arah negara maju.