136 pelajar sekolah diculik

GAMBAR bertarikh 31 Mei lalu lalu menunjukkan keadaan bilik darjah di sekolah yang terletak di Tegina, Nigeria, lokasi lelaki bersenjata menculik pelajar sekolah seminar Islam di tengah Nigeria. • Foto AFP

ABUJA: Lelaki bersenjata menculik 136 kanak-kanak dari sebuah sekolah seminar Islam di tengah Nigeria pada hujung minggu, kata pemerintah negeri, yang terbaharu dalam rentetan kejadian seperti itu yang melanda negara paling ramai penduduk di Afrika.

Kerajaan Negeri Niger pertama kali melaporkan serangan di sekolah itu di Bandar Tegina pada Isnin lalu, tetapi tidak mendedahkan jumlah kanak-kanak yang diculik.

Kumpulan bersenjata mengganas penduduk di barat laut dan tengah Nigeria dengan menakhluki kampung, mencuri lembu dan menahan tebusan.

Lebih daripada 700 kanak-kanak dan pelajar telah diculik oleh lelaki bersenjata untuk dijadikan tebusan sejak Disember lalu.

“Kerajaan Negeri Niger mengesahkan jumlah pelajar yang diculik oleh penyamun di Sekolah Islam Salihu Tanko, Tegina … menjadi 136 orang,” tulis pemerintah tempatan di Twitter lewat Rabu lalu.

Timbalan Gabenor Negeri, Alh Ahmed Mohammed Ketso mengatakan bahawa agensi keselamatan melakukan yang terbaik tetapi tidak mempunyai logistik yang mencukupi sambil menambah bahawa lebih banyak bantuan diperlukan untuk melengkapkan mereka untuk berdepan penjenayah.

Penyerang melepaskan 11 murid yang terlalu kecil dan tidak dapat berjalan jauh, kata pihak berkuasa sebelum ini.

Kerajaan negeri Niger mengatakan tidak membayar wang tebusan.

“Kami berusaha untuk berunding untuk melihat bagaimana kami dapat membawa mereka kembali dengan selamat?”, kata timbalan gabenor. -AFP