Petugas media terima suntikan mulai esok

BERAMAH MESRA … Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar beramah mesra dengan penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Para petugas media yang berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 Rabu ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, janji temu bagi tujuan vaksinasi  itu akan mula diterima oleh petugas media semalam. 

“Ada dalam kalangan mereka mula menerima tarikh janji temu vaksin semalam. Jadi, suntikan itu akan mula dilaksana pada Rabu.

“Jumlah penerima vaksin dalam kalangan petugas media bagaimanapun belum diputuskan lagi dan kami masih menelitinya,” katanya, kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.

Bulan lepas, Khairy dilapor berkata lebih 5,000 petugas media menerima tarikh janji temu untuk divaksinasi, mulai Jun. 

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata operasi hari pertama PPV KLCC semalam  berjalan lancar. 

Ditanya mengenai isu terdapat segelintir warga emas yang dikatakan enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca, Khairy berkata, pihaknya menyarankan agar golongan itu tidak memilih jenis vaksin.

— Bernama